Thursday, March 17, 2011

Maaf

Pada 13 Mac 2011, saya sibuk membuat segala tugasan kerana cuti pada hari tersebut. Pada hari tersebut, saya berasa sangat lapar dan membuat keputusan untuk keluar dengan rakan sebilik saya untuk membeli kuih pau di kawasan yang berdekatan dengan kolej kediaman. Saya ternampak seorang pak cik yang menjual kuih pau bersama anaknya. Pak cik tersebut menggunakan bahasa yang baik ketika berkomunikasi. Saya juga mendapati bahawa wajahnya ceria pada hari tersebut. Saya juga turut berasa tenang melihat wajah pak cik tersebut. Rakan sebilik saya juga tertarik untuk membeli kuih pau daripada pak cik tersebut. Perbualan yang berlaku antara rakan sebilik saya dengan pak cik tersebut adalah seperti berikut:
“Pak cik selalu menjual ke pau kat sini?” tanya rakan sebilik saya.
“Mintak maaf banyak-banyak nak, selalunya pak cik menjual tapi pak cik selama tiga minggu tak berapa sihat. Jadi, pak cik tak dapat jual juga nak. Muda-mudahan pak cik sihat selalu” kata pak cik tersebut sambil senyum pada kami.
Sebenarnya, manusia memang tidak mudah meminta maaf kepada seseorang walaupun ia tahu dirinya bersalah. Namun, situasi yang berlaku pada hari ini menyebabkan saya kagum dengan sikap pak cik tersebut yang sedia meminta maaf tanpa mengenal usia. Pada hakikatnya, pak cik tersebut tidak terikat atau diwajibkan menjual kuih tersebut kepada kami sehingga sanggup meminta maaf. Dengan demikian, kita seharusnya mencontohi sikap yang ditunjukkan oleh pak cik tersebut iaitu meminta maaf.

Pembentukan Masyarakat Berbudi Pekerti

Pada 12 Mac 2011, saya tidak mempunyai kuliah. Kesempatan ini telah saya gunakan untuk pergi ke pekan Tanjung Malim. Saya telah melihat seorang perempuan tua bersama dengan seorang budak perempuan di pekan tersebut. Budak perempuan tersebut mungkin berusia 12 tahun sahaja. Saya telah tertarik dengan perlakuan budak perempuan tersebut. Hal ini demikian kerana, saya mendapati bahawa budak perempuan tersebut sangat menghormati ibunya. Misalnya, saya memerhati tingkah laku budak tersebut yang segera mengangkat bakul yang dipenuhi barang-barang yang dibeli serta memimpin tangan ibunya.
Selain itu, saya juga turut melihat tindakan budak perempuan tersebut yang sanggup memberikan tempat duduk kepada seorang lelaki tua. Saya amat hairan dengan sikap budak tersebut. Dengan demikian, saya mendapati bahawa budak tersebut telah dididik dengan baik oleh ibunya. Misalnya, budak tersebut telah didik tentang cara untuk menghormati orang tua. Budi bahasa yang dimilikinya pada usia ini menarik perhatian saya. Saya juga memuji ibunya dalam hati saya. Saya juga percaya bahawa tingkah laku tersebut pasti dimilikinya walaupun budak perempuan tersebut menjadi dewasa kelak. Hal ini demikian kerana, didikan sejak kecil lagi akan terpahat dalam hati seseorang dan seterusnya akan membentuk peribadi mereka. Oleh itu, didikan yang baik sejak kecil lagi sangat penting dalam sesebuah keluarga. Saya pasti bahawa ramai muda mudi dan orang dewasa tidak mempunyai sifat yang dimiliki oleh budak perempuan tersebut. Hal ini mungkin disebabkan oleh faktor keluarga atau persekitaran. Walau bagaimanapun, saya berhasrat dalam hati saya untuk membentuk nilai-nilai yang baik dalam kalangan anak-anak saya pada masa akan datang. Saya juga turut berpendapat bahawa negara kita akan terdiri daripada masyarakat yang berbudi pekerti jika setiap rakyat di negara ini bertekad untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan anak-anak mereka sejak kecil lagi.


Ayat Permintaan

Pada 11 Mac 2011, saya telah berbual dengan kawan karib saya yang belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kami berbual selama sejam menerusi telefon bimbit. Kami juga turut bercerita mengenai peristiwa-peristiwa yang berlaku ketika masih belajar di sekolah rendah dahulu. Kami juga berbual mengenai seorang guru yang mengajar matapelajaran Bahasa Melayu pada ketika tersebut. Setelah selesai berbual, saya mula mengimbas kembali tentang guru bahasa Melayu tersebut. Guru tersebut sering menggunakan ayat permintaan agar kami senyap. Ayat permintaan yang digunakannya adalah seperti yang berikut:
“Tolong jangan bising”.
Pada ketika itu, kami tidak tahu sama ada ayat permintaan tersebut betul atau salah. Dengan demikian, kami hanya mengikut sahaja arahan guru tersebut. Sebenarnya, ayat “tolong jangan bising” adalah salah. Ekoran itu, contoh ayat-ayat lain yang turut dianggap salah adalah seperti ‘tolong jangan merokok, sila jangan masuk, sila jangan pijak, minta jangan meludah dan sebagainya. Dalam bahasa Melayu, ayat permintaan dan ayat silaan membawa makna yang positif manakala ayat larangan lazimnya membawa makna yang negatif. Oleh itu, kata silaan tidak boleh hadir bersama-sama dengan kata larangan. Dengan demikian, contoh-contoh ayat yang telah dinyatakan tadi tidak gramatis kerana makna yang didukungnya adalah bercanggah antara makna positif dengan makna negatif dalam satu ayat. Ayat-ayat di atas dianggap betul sekiranya ditulis seperti berikut:
Jangan merokok
Jangan meludah
Jangan bising
Jangan keluar
Jangan pijak

Ayat Silaan

     Pada 10 Mac 2011, saya telah pergi ke rumah rakan saya untuk mengambil bahan-bahan yang berkaitan dengan tugasan. Rakan saya menjemput saya dengan wajah yang ceria setelah melihat diri saya yang berada di pintu rumahnya. Ia menjemput saya dengan ayat yang berikut:

“Jemputlah masuk Bawani”.
“ Jangan malu-malu”.

Saya pun masuk ke dalam rumahnya tanpa segan silu. Pada ketika tersebut, saya mendapati bahawa penghuni-penghuni rumah tersebut menikmati sarapan bersama-sama. Saya tertarik dengan bahasa yang digunakan oleh mereka. Ayat yang digunakan oleh mereka ialah ayat silaan. Ayat silaan ialah ayat yang diucapkan dengan tujuan menjemput atau mempersila seseorang. Ayat silaan menggunakan kata silaan seperti sila, jemput dan sebagainya. Lazimnya, kata silaan digunakan pada permulaan ayat.  Misalnya, sila datang ke majlis itu. Penggunaan ayat silaan memang mewujudkan satu ikatan silaturahim dalam kalangan masyarakat. Selain itu, penggunaan ayat silaan juga dapat menggambarkan watak seseorang yang berbudi pekerti dan bersopan. Individu yang mengamalkan ayat silaan memang mudah didekati oleh orang lain. Perkara ini jelas apabila saya berasa selesa dan telah berkenalan dengan penghuni-penghuni rumah tersebut kerana tertarik dengan penggunaan ayat silaan.

Bahasa dan Bujukan

Pada 9 Mac 2011, saya telah turun ke bawah blok satu bersama dengan kawan. Hal ini demikian kerana, kawan saya telah mengajak saya untuk duduk di bahagian tempat menonton televisyen. Pada ketika tersebut, mata saya tertumpu pada rancangan TV3 iaitu rancangan Malaysia Hari Ini (MHI). Berikut adalah perbualan yang berlaku antara pengacara dan pemanggil rancangan tersebut.
Pengacara        : Selamat pagi. Siapa di sana?
Pemanggil       : Saya Deris bin Mat.
Pengacar          : Encik Deris, encik dari mana?
Pemanggil       : Dari (pada) Alok Merah, dekat Aloq Setaq.
Pengacara        : Oi,  apa habaq?
Kemudian, pengacara tersebut terus bercakap dalam dialek Kedah. Pada awalnya, saya agak keliru dengan perubahan sebutan tersebut apabila saya tidak dapat memahami perbualan mereka. Pada ketika tersebut, saya bertanya kepada rakan saya tentang perubahan bahasa tersebut. Kemudian, kawan saya menjelaskan kepada saya bahawa pengacara dan pemanggil tersebut berkomunikasi dalam dialek Kedah. Selepas itu, saya baru menyedari keadaan tersebut.  
Selepas itu, terlintas suatu perkara dalam fikiran saya berkaitan dengan situasi tersebut. Sebenarnya, Abdullah Hassan mengatakan bahawa peristiwa tersebut mempunyai teorinya yang dikenali sebagai Teori Homofili. Terdapat juga pendapat orang lain yang mengatakan bahawa orang yang lebih mudah dipercayai ialah orang yang mempunyai banyak persamaan dengan kita. Misalnya, mempunyai persamaan dari segi sifat, bahasa kegemaran, selera, pakaian, muzik dan sebagainya. Seseorang juga lebih mudah mempercayai kita sekiranya mempunyai banyak persamaan dengan diri kita. Oleh itu, kita boleh menggunakan teori ini sekiranya ingin memujuk orang lain untuk mendekatinya.

Bahasa Sopan

Pada 8 Mac 2011, saya telah pergi ke restoran yang berdekatan dengan kolej kediaman untuk membeli makan malam. Saya terpaksa membeli makanan di luar kerana tidak sempat memasak pada hari tersebut. Berikut adalah perbualan yang berlaku antara saya dengan pelayan restoran tersebut.
Pelayan            : Encik hendak makan apa?
Lelaki              : Nasi Goreng Kampung satu.
Pelayan            : Minum?               
Lelaki              : Teh panas ye.
Pelayan            : Kakak, nak makan apa?
Saya                : Nasi Goreng Kampung juga.
Pelayan            : Minum kak?
Saya                : Air suam.
Selepas itu, pelayan tersebut pergi untuk menyediakan makanan. Sebenarnya, saya ingin berkongsi mengenai bahasa sopan dalam penulisan blog ini. Bahasa sopan menggunakan dua ciri yang ketara. Pertamanya adalah penggunaan bentuk sapaan yang padan dengan orang yang ditegur atau dilawan cakap. Keduanya adalah penggunaan peringkat atau taraf bahasa yang sesuai dengan konteks percakapan. Secara ringkasnya, bahasa sopan merujuk kepada penggunaan bentuk bahasa yang hormat apabila hendak menghormati orang yang dilawan bercakap. Sehubungan dengan itu, pelayan restoran tersebut menggunakan bentuk sapaan hormat iaitu Encik semasa berkomunikasi dengan lelaki. Seterusnya, pelayan tersebut mengubah bentuk sapaan hormat kepada bentuk sapaan keluarga iaitu kakak semasa berkomunikasi dengan saya. Sebenarnya, pelayan tersebut dianggap tidak menghormati pelanggan wanita iaitu diri saya kerana tidak menggunakan bentuk sapaan hormat. Namun, pelayan tersebut berasa bahawa penggunaan bentuk sapaan keluarga terhadap pelangan wanita iaitu kakak adalah bentuk sapaan hormat.

Berhemah

Pada 7 Mac 2011, saya telah pergi ke kelas Pembangunan Modal Indan dalam Kesusasteraan Melayu yang dijalankan di Proton City. Kelas tersebut diadakan dari jam 8 pagi sehingga 10 pagi. Selepas kelas tamat, saya menunggu bas untuk pergi ke kampus. Terdapat ramai lagi pelajar yang turut menunggu untuk pergi ke kampus. Beberapa minit kemudian, bas telah pun sampai dan saya menaiki bas tersebut bersama pelajar-pelajar lain. Saya hanya dapat berdiri berdekatan dengan pemandu bas kerana ramai pelajar telah mendahului saya ketika menaiki bas. Suatu kejadian telah berlaku apabila bas tiba di kampus. Peristiwa tersebut memang mengejutkan kami. Hal ini demikian kerana, pemandu bas tersebut telah berasa marah dengan tindakan seorang pemandu lori yang meletakkan lorinya di tempat letak bas. Lori tersebut juga diletakkan berdekatan dengan selekoh. Ekoran itu, pemandu bas UPSI tersebut melenting lalu menjerit ke arah pemandu lori. Antara kata-kata yang diucapkannya adalah seperti berikut:
“Ada otak ke? Dah tau tempat bas masih parking kat sini".
            Selepas itu, pemandu lori tersebut segera mengalihkan kenderaannya ke tempat lain. Saya juga berasa pelik dengan sikap pemandu bas tersebut yang berubah secara tiba-tiba. Hal ini demikian kerana, pemandu tersebut telah senyum dan menasihati saya supaya pegang dengan kuat ketika saya menaiki bas dari Proton City ke kampus. Saya juga beranggapan bahawa pemandu bas tersebut adalah baik. Namun,, perlakuan pemandu tersebut yang menghamburkan kata-kata kasarnya kepada pemandu lori menyebabkan saya berasa terkilan dengannya.
            Sebenarnya, kita tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata kasar yang boleh menjatuhkan maruah orang lain terutamanya apabila ia berada di khalayak. Kita hendaklah sentiasa meletakkan diri kita pada tempat orang lain dan sentiasa berfikir perasaan yang akan kita alami sekiranya menghadapi situasi sedemikian. Pada masa yang sama, saya tetap akur bahawa tindakan pemandu lori tersebut adalah salah. Namun, pemandu bas tersebut tidak harus bertindak sedemikian untuk menegur kejadian tersebut. Saya juga berpendapat bahawa kita hendaklah mengelakkan penggunaan kata-kata yang kasar seperti pemandu bas tersebut kerana perkara tersebut boleh mengundang pergaduhan yang besar. Dengan demikian, kita hendaklah sentiasa bertindak hemah dalam semua hal.

Laras Bahasa

Pada 5 Mac 2011, saya tidak mempunyai kelas pada hari tersebut. Dengan demikian, saya membuat keputusan untuk turun ke bawah untuk melihat berita pagi di TV3. Saya telah turun ke bawah untuk menonton siaran berita tersebut. Saya juga dapat melihat ramai pelajar yang datang untuk melihat siaran tersebut. Saya sempat menonton berita tersebut sehingga akhir. Perkara yang menarik minat saya dalam berita tersebut adalah penggunaan pelbagai laras bahasa seperti laras sukan, ekonomi dan sebagainya
Sebenarnya, laras bahasa merupakan ciri bahasa yang bersifat umum. Penggunaan bahasa yang berbeza-beza melahirkan laras. Penggunaan bahasa yang berbeza-beza berdasarkan situasi dan faktor lain mewujudkan kata-kata yanag tidak sama. Laras bahasa juga didefinisikan sebagai gaya dalam penggunaan sesuatu bahasa. Laras bahasa biasanya berubah-ubah mengikut situasi. Misalnya, terdapat pelbagai jenis laras bahasa yang digunakan dalam rancangan berita seperti laras sukan dan ekonomi. Ciri laras sukan yang digunakan ialah seperti finalti, separuh masa akhir, kad kuning, tendangan kencang, pukulan hebat dan sebagainya. Manakala laras ekonomi yang digunakan di dalam berita adalah seperti harga saham, pasaran, wang ringgit dan sebagainya. Sebenarnya, terdapat juga laras bahasa seperti sains, akademik, undang-undang, iklan, agama, media massa selain laras sukan dan ekonomi. Namun, saya sempat mengenal pasti laras bahasa sukan dan ekonomi dalam siaran berita tersebut.
Selain itu, saya turut mendapati bahawa gabungan penggunaan laras bahasa dalam rancangan berita dapat memberikan kesan positif terhadap keindahan bahasa dan keberkesanan komunikasi. Gabungan pelbagai laras bahasa juga dapat memberikan makna bagi gaya bahasa. Kaedah ini dapat menarik perhatian  para pembaca dan pendengar untuk terus memberikan tumpuan terhadap bahan yang dibaca atau didengarinya. Oleh itu, penggunaan laras bahasa memang penting dalan penulisan dan penuturan bagi menarik perhatian orang lain.

Kebenaran Penggunaan Singkatan

Pada 17 Mac 2011, saya telah menghadiri kelas Sosiolinguistik Melayu. Pada waktu tersebut, terdapat pembentangan kumpulan dalam kelas tersebut. Terdapat sesi soal jawab setelah satu kumpulan telah selesai menghabiskan pembentangan mereka. Terdapat banyak komen yang diberikan terhadap hasil pembentangan mereka. Pada ketika tersebut, saya mendapati bahawa salah seorang pembentang mengajukan soalan kepada pensyarah bagi menyelesaikan kekeliruannya. Ia mengajukan soalan mengenai kewajaran penggunaan singkatan. Pensyarah saya menjawab bahawa penggunaan singkatan memang dibenarkan terutamanya dalam pembentangan. Saya juga mendapati bahawa penggunaan singkatan dalam pembentangan memang wajar kerana pembentangan lebih menumpukan isi-isi yang penting sahaja dan perkataan-perkataan yang dipaparkan dalam skrin juga tidak seharusnya padat. Dengan demikian, penggunaan singkatan akan menyebabkan sesuatu paparan slaid tidak kelihatan terlalu padat. Sehubungan dengan itu, saya telah mendapat suatu pengetahuan baru mengenai kebenaran penggunaan singkatan dalam pembentangan. Hal ini demikian kerana, saya berpendapat bahawa singkatan langsung tidak boleh digunakan dalam pembentangan. Namun, saya telah mengubah persepsi saya pada hari ini. Pada masa yang sama, pensyarah saya juga menekankan bahawa singkatan yang memang tidak boleh difahami seperti cam tu, gi, mcm mne, ctu, cmne dan sebagainya adalah tidak dibenarkan. Saya agak tidak pasti penggunaan singkatan dalam situasi lain selain pembentangan kerana tumpuan saya terganggu ketika pensyarah menerangkannya. Hal ini demikian kerana, perbualan rakan di sebelah saya menyebabkan saya tidak dapat menguasai segala perkara yang diterangkan oleh pensyarah saya. Oleh itu, saya hanya menulis beberapa perkara yang sempat saya perolehi daripada penerangan tersebut dalam blog ini.

Manfaatkanlah Penggunaan Bahasa Halus

Pada 3 Mac 2011, saya telah duduk di kerusi yang terdapat di Proton City dan sedang menunggu kawan saya. Pada ketika tersebut, saya melihat sekumpulan pelajar perempuan sedang keluar dari kelas dan berjalan melintasi saya. Ekoran itu, saya terdengar perbualan salah seorang pelajar perempuan dari kumpulan tersebut. Ayat-ayat yang diucapkannya adalah seperti berikut:
“Aku nak kencing la. Korang pergi dulu la. Aku dah tak tahan ni. Aku nak pergi tandas jap.”
Sehubungan dengan itu, kita mendapati bahawa pelajar perempuan tersebut tidak menggunakan bahasa halus dalam situasi tersebut. Sebenarnya, pelajar tersebut boleh menggunakan perkataan ‘buang air kecil’ untuk mengantikan perkataan ‘kencing’ atau menggunakan ayat ‘aku nak pergi ke bilik air’. Saya menggunakan perkataan ‘nak’ bagi ‘hendak’ kerana perbualan tersebut tidak berlaku dalam situasi formal. Dengan demikian, ayat ‘aku nak pergi ke bilik air’ memberi makna tersirat bahawa ia hendak membuang air. Saya memang sering mendengar penggunaan perkataan ‘kencing’ dalam kalangan pelajar perempuan. Ekoran itu, satu perkara sering muncul dalam fikiran saya apabila terdengar perkataan tersebut dalam kalangan pelajar perempuan iaitu mereka tidak berasa segan menggunakan perkataan tersebut walaupun terdapat beberapa orang yang tidak dikenali di sebelah mereka. Saya akur bahawa mereka menggunakan perkataan tersebut dengan beranggapan bahawa orang yang berada di sekeliling adalah perempuan dan tidak perlu berasa segan menggunakannya. Namun, penggunaan perkataan tersebut akan menjadi tabiat sekiranya kerap digunakan dan mungkin seseorang perempuan mengucapkannya tanpa disedari ketika berada di khayalak lelaki. Dengan demikian, saya berpendapat bahawa penggunaan perkataan tersebut dalam kalangan pelajar perempuan tidak elok didengari oleh lelaki dan perkara tersebut akan mewujudkan keadaan yang tidak menyenangkan. Oleh itu, kita hendaklah memanfaatkan bahasa halus yang terdapat dalam bahasa Melayu.

O.k next

Pada 2 Mac 2011, saya telah menghadiri kelas Semantik dan Pragmatik Bahasa Melayu pada pukul lapan hingga sepuluh pagi. Terdapat pembentangan individu pada hari tersebut. Seorang pelajar perempuan mula melakukan pembentangannya pada pagi tersebut. Saya mendapati bahawa pelajar tersebut kerap menggunakan perkataan ‘O.k, next’ apabila beralih ke paparan skrin yang seterusnya. Rakan-rakan sekelas saya juga turut mendapati penggunaan perkataan tersebut dan mereka mula beri komen terhadap situasi tersebut. Saya berpendapat bahawa, pelajar tersebut boleh menggunakan perkataan ‘baiklah, seterusnya’ bagi menggantikan perkataan ‘O.k, next’. Hal ini demikian kerana, seseorang pelajar hendaklah menggunakan bahasa yang formal ketika melakukan pembentangan di hadapan kelas terutamanya pembentangan yang melibatkan kursus dalam Pendidikan Bahasa Melayu. Para pelajar yang mengambil bahasa Melayu sebagai subjek minor juga perlu peka dalam penggunaan bahasa Melayu yang tidak bercampur aduk dengan bahasa lain. Dengan demikian, penggunaan bahasa Melayu yang baik dalam situasi formal penting untuk menjamin perkembangannya secara berterusan.


Penggunaan Dialek

Pada 28 Februari 2011, saya telah menaiki bas dari Kolej Harun Aminurrashid ke kampus. Pada ketika tersebut, saya terdengar perbualan dua orang pelajar lelaki yang duduk di kerusi belakang bas. Pada ketika tersebut, saya telah berdiri berdekatan dengan mereka. Dengan demikian, saya dapat mendengar perbualan mereka. Ekoran itu, saya agak tertarik dengan penggunaan dialek dalam perbualan tersebut. Saya terdengar sebutan huruf ‘a’ pada akhir perkataan. Misalnya, sebutan perkataan ‘apa’ sangat berbeza daripada bunyi asal yang lazim saya dengar. Saya juga turut mendengar sebutan rakannya. Ia menyebut perkataan ‘apa’ sebagai ‘apέ’. Ekoran itu, saya mendapati bahawa pelajar lelaki tersebut mungkin berasal dari Perak. Hal ini demikian kerana, saya juga berasal dari Perak dan pernah mendengar perbualan rakan saya yang sering menyebut perkataan ‘apa’ sebagai ‘apέ'. Kemudian, saya teringin untuk mendengar perkataan tersebut dalam dialek yang lain. Ekoran itu, saya menyuruh rakan-rakan saya yang berasal dari Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah menyebut perkataan tersebut dalam dialek mereka. Dengan demikian, saya mendapati bahawa sesuatu perkataan mempunyai sebutan yang berbeza mengikut negeri yang berlainan dan dikenali sebagai dialek. Saya juga turut mendapati bahawa penggunaan dialek dalam kalangan masyarakat dapat membantu mengenal pasti identiti seseorang.

Salahkah?

Pada 17 Mac 2011, saya telah menaiki bas dari Kolej Harun Aminurrashid ke kampus. Pada ketika tersebut, saya terjumpa dengan rakan sekelas saya dan kami berbual-bual sepanjang perjalanan tersebut. Setelah sampai ke kampus, saya telah bergerak untuk turun dari bas. Pada ketika tersebut, saya tersentuh bahagian belakang seorang pelajar perempuan secara tidak sengaja. Saya berharap anda dapat memahami bahagian yang saya maksudkan. Selepas itu, saya meminta maaf kepada pelajar perempuan tersebut. Namun, pelajar tersebut menjeling ke arah saya. Saya memang berasa pelik dengan tindakan pelajar tersebut. Dua orang pelajar perempuan yang turut memerhatikan keadaan tersebut juga berasa pelik dengan jelingan pelajar tersebut. Kemudian, saya menuruni bas tersebut dan terus berjalan dengan rakan sekelas saya. Saya ternampak pelajar perempuan tersebut berjalan di hadapan saya. Pelajar tersebut menoleh ke belakang dan masih menjeling ke arah saya. Saya turut berasa agak marah dengan jelingan pelajar tersebut. Hal ini demikian kerana, saya telah meminta maaf kerana tersentuh bahagian belakang pelajar tersebut secara tidak sengaja. Kemarahan pelajar tersebut adalah wajar sekiranya diri saya adalah seorang lelaki. Namun, kami berdua adalah perempuan dan saya berasa perkara tersebut bukanlah suatu isu yang besar sehingga pelajar tersebut berkata sesuatu kepada rakannya sambil menjeling ke arah saya. Tindakan pelajar tersebut juga tidak wajar kerana ia masih marah walaupun saya telah meminta maaf. Saya berharap anda dapat memahami keadaan tersebut dan dapat menilai sama ada saya bersalah atau tidak. Pada pendapat saya, kesalahan yang tidak disengajakan oleh seseorang hendaklah dimaafkan dengan hati yang terbuka.


Wednesday, March 16, 2011

Perubahan Sikap

   Pada 16 Mac 2011, saya telah mengikuti beberapa orang rakan saya untuk menjalankan penyelidikan di Ketoyong bagi tugasan kumpulan. Terlebih dahulu, kami telah sampai ke kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pada ketika tersebut, salah seorang daripada rakan saya memberi cadangan agar menaiki bas yang menuju ke Stesen Keteta Api kerana tempat tersebut berdekatan dengan stesen tersebut. Kawan-kawan saya mula menuju ke arah bas tersebut dan berkomunikasi dengan pemandu bas tersebut. Pemandu bas tersebut bercakap kurang sopan dengan mereka dan saya berasa marah dengan sikapnya yang tidak berbudi bahasa. Namun, kawan-kawan saya tetap berinteraksi dengan menggunakan bahasa yang sopan kepada pemandu bas tersebut. Kemudian, dia menyuruh kami untuk naik ke dalam bas. Beberapa minit kemudian, segelintir pelajar turut datang untuk meminta kebenaran untuk naik ke dalam bas tersebut kerana ingin pergi ke pekan Tanjung Malim. Mereka juga turut dimarahi oleh pemandu bas tersebut. Saya mula berkongsi pendapat saya tentang kelakuan pemandu bas tersebut kepada dua rakan yang lain. Mereka juga tidak selesa dengan sikap pemandu tersebut. Kemudian, kami tetap mengucapkan terima kasih kepada pemandu tersebut ketika menuruni tangga bas. Pada ketika tersebut, saya terkejut apabila pemandu tersebut senyum kepada kami dan menasihati agar berjaga-jaga ketika melintas jalan. Ia juga meminta kami tunggu pada pukul lima petang di Stesen Kereta Api di Tanjung Malim supaya ia dapat menghantar kami di kampus. Kami memang terkejut dengan sikap pemandu tersebut yang berubah secara tiba-tiba. Pada ketika itu, saya menyesal kerana memarahi pemandu tersebut dengan rakan-rakan saya. Dengan demikian, saya berpendapat bahawa pemandu tersebut bersikap tidak sopan pada awalnya kerana tertekan dengan kerenah para pelajar yang ingin menaiki bas tersebut walaupun mereka sepatutnya menaiki bas lain. Saya juga berpendapat bahawa pemandu tersebut terharu dengan sikap kami yang tidak memarahinya malah mengucapkan terima kasih ketika menuruni tangga walaupun dimarahi olehnya. Oleh itu, saya mendapati bahawa sikap bersabar dan sopan santun yang ditunjukkan oleh kita mampu mengubah sikap orang lain agar turut mengikutinya.



Peribahasa warisan kita

     Pada 25 Februari 2011, saya telah melayari internet untuk mencari bahan bagi tugasan Semantik dan Pragmatik Bahasa Melayu. Saya telah mencari peribahasa yang dapat dikaitkan dengan tajuk tugasan saya. Pada ketika tersebut, saya terjumpa satu laman web yang memaparkan pelbagai peribahasa yang telah diubahsuai. Penulis tersebut menyatakan bahawa mindanya tenang dan hatinya terhibur apabila membaca peribahasa ciptaannya. Namun, peribahasanya menyebabkan saya berasa kesal dengan tindakannya. Antara peribahasa yang dipaparkannya adalah seperti yang berikut:

1) Harimau mati meninggalkan belang, Isteri mati meninggalkan gelang, suami mati meninggalkan hutang.
2)Sebab pulut santan binasa sebab mulut tak pasal-pasal kena saman malu berjuta-juta...
3)Kalau tiada angin masakan pokok bergoyang kecuali kalau ada beruk atas pokok tu.
4)Kalau padi katakan padi, tidak aku ternanti-nanti, kalau sudi katakan sudi, kalau tak sudi bukan kau sorang dalam dunia ni.....boleh blahlah....
5)Biar lambat asalkan tak kena speed trap.
6)Takkan lari gunung dikejar, Tapi pasti gunung takkan datang kalau setakat dok tunggu aje...
7)Lembu punya susu, Ducth-Lady dapat nama.
 Penulis tersebut juga memberi ruang kepada rakan-rakan lain bagi menyelitkan peribahasa yang diubahsuai oleh mereka. Antara peribahasa yang diubahsuai oleh rakan-rakannya adalah seperti yang berikut:
1)Di Mana Ada Kemahuan, Di situ ada HIGHWAY ( Ini Adnan Sempit punya)
2) Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, Berblog-blog dahulu, Nanti dapat Income dari Nuffnang kemudian.
3) Makan hati berulamkan jantung pisang, dimakan pula dengan Ikan Bilis dan Tempe Cili Padi, di masak oleh Kak Ina KL, terbaik punya.
4)Tempat jatuh lagi dikenang, Inikan pula tempat Shopping (ditujukan khas buat kaum Wanita, hik3)
5) Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, Kalau hari-hari hujan sebegini, bila masa aku boleh mandi air hujan?
6) Habis Madu Sepah akhirnya Menang Raja Lawak
7) Pinggan tak retak, nasi tak dingin, orang tak hendak, peduli apa aku, Isteri aku ingin
8) Jinak-jinak si burung merpati, jinak lagi si Bean Moreno (hik3 lagi)
9)Takkan lari gunung di kejar, hilang kabus nampaklah puncaknya (pantun Cikgu Maths aku semasa sekolah yang berbaur 18SX)
10)Kajang Pak Malau Kajang Berlipat, Kajang hamba, Sate Kajang memang sedap sekali.
     Saya pasti bahawa anda juga berasa kesal dengan perbuatan remaja tersebut yang mengubahsuai peribahasa tanpa mengenal nilai warisan tersebut. Saya akur bahawa remaja tersebut berbuat demikian agar dapat menghiburkan para pembaca. Namun, perkara ini menggambarkan sikap remaja tersebut yang tidak menghargai nilai peribahasa yang mengandungi makna mendalam yang dapat dijadikan pedoman dalam kehidupan. Remaja tersebut juga turut menyediakan ruang kepada pembaca lain untuk menulis peribahasa yang telah diubahsuai oleh mereka dalam laman web tersebut. Malangnya, perkara ini dapat mempangaruhi pembaca lain untuk berbuat demikian. Saya khuatir bahawa perkara yang tidak bertanggungjawab ini turut memberi kesan negatif dalam kalangan pelajar sekolah sehingga mereka menggunakannya dalam penulisan karangan. Dengan ini, saya mendapati bahawa perbuatan tersebut akan menyebabkan kesan negatif yang teruk terhadap nilai peribahasa sekiranya penggunaan peribahasa yang telah diubahsuai menular dalam internet. Oleh itu, saya berharap agar remaja tersebut tidak memandang remeh terhadap perkara ini kerana perbuatannya bakal melenyapkan peribahasa yang menjadi warisan masyarakat Melayu selama ini.


Pejuang-pejuang lama yang telah pupus

       Pada 24 Mac 2011, saya telah menghadiri kelas Analisis Wacana pada pukul 8.15 malam. Suatu perkara yang dikongsi oleh pensyarah menarik perhatian saya. Saya tidak ingin mengambarkan situasi tersebut secara mendalam kerana khuatir perkara ini akan menimbulkan masalah kepada pensyarah yang berkongsi perkara ini kepada kami. Beberapa tahun yang lalu, beliau pernah menghadiri suatu mesyuarat yang penting. Pada ketika tersebut, seorang wanita yang memang berkedudukan tinggi menyatakan bahawa kita hendaklah menyanjung pejuang-pejuang lama  yang telah pupus. Sebenarnya, jelas kelihatan bahawa terdapat kesalahan penggunaan istilah dalam ayat tersebut. Perkataan 'pupus' hanya sesuai untuk merujuk haiwan, tumbuhan dan benda yang lenyap atau hilang. Perkataan yang paling sesuai menggantikan perkataan 'pupus' ialah 'meninggal dunia'. Misalnya, kita hendaklah menyanjung pejuang-pejuang lama yang telah meninggal dunia. Dengan demikian, kita hendaklah sentiasa peka dalam penggunaan istilah yang sesuai agar tidak menimbulkan kekeliruan dan ketegangan dalam kalangan pelbagai pihak terutamanya dalam situasi formal.

Ukirlah Senyuman Pada Bibirmu

        Pada 23 Februari 2011, saya telah balik ke rumah iaitu dari Proton City ke Kolej Harun Aminurrashid. Saya melihat rakan serumah saya duduk di meja makan ketika pintu rumah dibuka. Saya terus senyum setelah melihat wajahnya. Namun, dia terus mengalih pandangannya ke tempat lain seolah-olah tidak melihat keadaan tersebut. Saya berasa agak tidak selesa dengan keadaan tersebut dan muka saya pun kelihatan pucat. Sebenarnya, rakan serumah saya memang bersikap begitu dan keadaan tersebut bukanlah baru kepada saya. Namun, saya tetap berasa tidak selesa dengan kejadian tersebut. Kemudian, saya pergi ke perpustakaan untuk meminjam buku dan balik ke rumah pada waktu petang. Saya amat penat pada ketika tersebut. Saya  membuat keputusan untuk tidak senyum sekiranya rakan serumah saya berada di meja makan ketika saya memasuki rumah. Setelah saya memasuki rumah, satu suara mesra dan riang menyambut kedatangan saya. Kata-kata yang diucapkan kepada saya ialah 'Hai kak Bawani. Baru sampai ye? Sebenarnya, perkataan itu diucapkan dengan senyuman manis oleh rakan serumah saya yang lain. Saya berasa bertenaga dan berseri apabila mendengar teguran yang begitu mesra. Pada ketika tersebut, saya berasa segala penat hilang dalam sesaat. Dengan ini, kita mendapati bahawa betapa hebatnya senyuman dan kata-kata manis bagi menyegarkan seseorang. Adakah terlalu susah untuk senyum pada orang lain? Saya sendiri tidak mengerti dengan sikap manusia yang sedemikian. Saya menyeru kepada pembaca blog ini agar tidak bersikap demikian kepada orang lain.


Penggunaan Singkatan

    Pada 22 Februari 2011, saya telah mengemaskinikan nota kursus Analisis Wacana pada waktu malam. Saya mendapati bahawa terdapat penggunaan singkatan yang banyak dalam nota. Misalnya, yg, spt, sbg, dpt, p'tama, bdasarkn, mpluas, dterangkn, mnunjukn, tjawab dan sebagainya. Pada ketika itu, fikiran saya mula mengimbas kembali peristiwa yang menyebabkan saya mempelajari penggunaan singkatan ketika menulis nota. Pada tahun 2006, saya telah menuntut di tingkatan enam. Pada suatu hari, kelas saya dimasuki oleh seorang guru tingkatan enam. Guru tersebut mengajar matapelajaran Pengajian Perniagaan dan meminta kami menyalin maklumat yang ditulisnya pada papan putih. Beberapa minit kemudian, guru tersebut memadamkan maklumat tersebut sebelum kami sempat menyalinnya dan terus menulis maklumat yang lain.  Ekoran itu, kami memberitahu kepada guru tersebut bahawa tidak sempat menyalinnya. Pada ketika itu, guru tersebut menasihati kami agar menggunakan singkatan ketika menyalin nota supaya dapat menyalinnya dengan cepat. Sejak hari itu, saya memang sudah biasa menggunakan singkatan ketika menulis nota. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa perkara tersebut memberi kesan negatif kepada kami ketika menjawab dalam peperiksaan. Kami sering tertulis singkatan dalam kertas peperiksaan kerana sudah biasa berbuat demikian ketika menyalin nota. Kami juga sering ditegur oleh guru yang mengajar matapelajaran Bahasa Melayu agar tidak menggunakan singkatan ketika menulis jawapan dalam peperiksaan. Saya pasti kebanyakan pelajar yang menuntut di universiti termasuk pelajar yang mengambil kursus Pendidikan Bahasa Melayu menggunakan singkatan ketika menulis nota agar tidak ketinggalan mencatat maklumat yang penting sewaktu berada dalam bilik kuliah.
           Saya juga turut berfikir mengenai penggunaan singkatan dalam kalangan pelajar pada malam tersebut. Kebanyakan daripada pelajar memang kerap menghantar maklumat melalui Sistem Pesanan Ringkas(SMS). Kadang-kala singkatan yang digunakan oleh mereka dalam sistem tersebut langsung tidak dapat difahami. Malangnya, mereka turut menggunakan singkatan tersebut ketika menjawab dalam peperiksaan. Kemungkinan pelajar tersebut menggunakan singkatan secara sedar atau tanpa disedari. Dengan demikian, penggunaan sistem tersebut juga  merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi penggunaan singkatan dalam kalangan pelajar.
          Berdasarkan perkara di atas, saya berpendapat bahawa seseorang pelajar boleh menggunakan singkatan ketika menyalin nota tetapi mengelakkannya ketika menjawab dalam peperiksaan. Hal ini akan dapat membantu mengelakkan penggunaan singkatan dalam kalangan pelajar yang boleh mengundang pencemaran bahasa kelak.

Penggunaan Bahasa dalam Media Rasmi

   Pada 21 Februari 2011, saya telah membuat tugasan Sosiolinguistik Melayu mengenai perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran. Pada hari tersebut, saya tertumpu kepada cadangan dan penambahbaikan bagi memantapkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran. Terlebih dahulu, saya membaca sepintas lalu bahagian masalah dan cabaran yang berkaitan dengan tajuk tugasan tersebut supaya dapat mengaitkannya dalam bahagian tugasan saya. Pada ketika tersebut, saya mendapati bahawa penggunaan bahasa dalam media rasmi memang tidak memuaskan. Hal ini demikian kerana, wartawan menanyakan sesuatu soalan kepada pemimpin atau kakitangan kerajaan dalam bahasa Inggeris. Namun, pada hakikatnya kedua-duanya dapat memahami dan berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan. Pada masa yang sama, para pendengar atau penonton iaitu rakyat Malaysia juga dapat memahami bahasa Melayu. Dengan demikian, wujud  satu persoalan dengan tindakan mereka yang tidak mengutamakan bahasa Melayu. Selain itu, terdapat juga penggunaan sari kata yang tidak bermutu dalam media rasmi. Sebenarnya, media rasmi perlu peka dalam memastikan penggunaan sari kata yang bermutu agar dapat menjadi contoh kepada media-media yang lain. Terdapat beberapa cadangan yang saya peroleh menerusi bahan rujukan. Antaranya, Panel Penilai dan Penyunting Bahasa Skrip rancangan-rancangan diwujudkan bagi mengawal mutu bahasa dalam RTM, penataran bahasa perlu diberikan dari semasa ke semasa kepada penyair, penulis berita, penerbit dan kakitangan penting yang lain, rancangan-rancangan televisyen dialih kepada bahasa Melayu, penterjemah-penterjemah bahasa ditempatkan di bahagian khas RTM dan sebagainya. Tambahan pula, para wartawan perlu menggunakan bahasa Melayu ketika menemu ramah para pemimpin dan kakitangan kerajaan. Ekoran itu, saya mendapati bahawa langkah-langkah tersebut amat penting bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu yang mantap dan berkualiti dalam media rasmi kerana media yang menjadi tontonan orang ramai cepat memberi kesan sama ada negatif atau positif dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, saya berharap bahawa pembaca blog saya ini dapat memahami tentang kepentingan penggunaan bahasa dalam media rasmi.


Kaedah Peneguran yang Tidak Baik

   Pada 18 Februari 2011, saya telah pergi ke rumah kawan A untuk berbincang mengenai tugasan. Tiba-tiba saya agak terkejut apabila seorang lagi kawan B telah datang ke rumah tersebut dan terus memarahi kawan A. Saya tidak ingin menceritakan perkara yang menyebabkan kawan B berasa tidak puas hati terhadap kawan A. Namun, saya dapat menyedari bahawa terdapat salah faham antara kedua-dua rakan tersebut. Beberapa minit kemudian, kawasan A cuba menenangkan kawan B tetapi tidak berjaya. Pada ketika tersebut, saya berasa amat kasihan terhadap kawan A saya. Namun, kawan A dapat menenangkan keadaan tersebut dengan meminta maaf kepada kawan B. Kemudian, saya melihat kawan B telah kembali tenang. Dalam hal ini, saya berasa kagum dengan sikap kawan A yang sanggup mendengar luahan perasaan yang agak kasar daripada kawan B dan ia telah bijak bertindak dengan meminta maaf kepadanya bagi mengawal keadaan. Saya pasti keadaan akan menjadi lebih teruk sekiranya kawan A juga tidak dapat mengawal perasaannya. Pada masa yang sama, saya berasa kawan B tidak patut bertindak sedemikian malah ia sepatutnya meluahkan perasaan tidak puas hatinya dengan cara yang berhemah. Kemungkinan kawan B berasa terlalu marah dan bertindak di luar kesedaran. Dengan ini, saya mendapati bahawa kita hendaklah sentiasa prihatin terhadap perasaan orang lain dan perlu menggunakan kaedah peneguran yang baik supaya sesuatu masalah dapat diselesaikan dengan aman tanpa menyakiti sesiapa. Di samping itu, kita juga perlu peka dalam mengawal perasaan dalam sebarang situasi agar tidak bertindak di luar kawalan sehingga menyinggung perasaan orang lain. Oleh itu, saya berharap agar pembaca blog saya dapat menggunakan kaedah peneguran yang baik dalam sebarang situasi.

Bahasa dalam Cerpen

     Pada 17 Februari 2011, saya telah melayari internet untuk mencari beberapa buah cerpen bagi mengkaji bahasa yang digunakan di dalamnya bagi tugasan kursus Analisis Wacana. Ekoran itu, saya terjumpa dengan sebuah laman web yang memberi peluang kepada semua orang untuk memuatkan hasil karya mereka. Saya mendapati bahawa terdapat banyak koleksi cerpen yang dapat memenuhi cita rasa pembaca yang pelbagai. Saya terpaksa membaca keseluruhan cerpen-cerpen tersebut untuk mengkaji bahasanya dari segi tujuh tahap ketekstualan. Malangnya, saya berasa amat kesal dan pening untuk membaca cerpen-cerpen tersebut. Hal ini demikian kerana, penggunaan bahasa yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris, singkatan perkataan, penggunaan dialek dan sebagainya memberi tekanan kepada saya untuk memahami kandungannya. Namun, saya tetap mengakui bahawa terdapat cerpen yang mengandungi jalan cerita dan gaya penyampaian yang amat menarik dan memberi kesan kepada diri saya seperti sedih, gembira dan sebagainya. Antara contoh-contoh penggunaan bahasa dalam cerpen adalah seperti yang berikut:

Baby, dah siap?”Tanya Iqmal Zyad sambil memandang fail yang berlambak di hadapan matanya. Sebelah tangannya sibuk memusing ligat pen yang dipegangnya tanda dia berfikir. Sesekali kening tebal hamper sahaja bercantum.
Not yet bie. Could you please come here and wait for me?” Tanya Syeera Umaira manja sahaja bunyinya di hujung talian.
I can’t baby. Baby siap dulu, dah siap nanti, give me a call. O.K sayang? Bie banyak kerja sangat ni.” Beberapa ayat diturunkan di atas kertas yang menjadi perhatian matanya kala itu. Pen berdakwat itu mula menjalankan kerjanya.
Fine. Setengah jam lagi baby call. Bye bie. Assalamualikum.” Masih lagi manja dan lembut bunyi suaranya.
Hello,miss. Ikut suka hati kitorang la. Nak bukak ke, nak tutup. Mind your own business. At least baju kitorang ni vukup benang, tak macam you. Bukan setakat tak cukup benang, tak cukup kain lagi. Nak suruh I sponsorkkan kain ke? Wa pedas gila Niza sembur.

Kurang masam ajinomoto punya budak.
“Kiki, kau tau tak?”kawannya yang dipanggil itu Nana tu bertanya.
“Tau ape? Kau tak cakap mane aku tau ape yg kau tahu?” Aku berpaling memandangnya. Sedang aku kusyuk membaca dia kacau pulak. Daripada aku tak boleh nak tumpu perhatian membaca baik aku layan budak sorang nie.
Dia la satu-satunya kawan baik aku.
“Aku dengar ada budak baru kat sekolah kita tau”
“Owh..ingat ape lah tadi..ko nie..ape pulak nak herannya..biasa la tu budak baru masuk budak lama keluar..cam tak biasa pulak”


        Saya pasti anda sebagai pembaca blog ini akan merasai perkara yang sama seperti yang saya lalui. Dengan ini, jelas bahawa penggunaan bahasa yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris, dialek, bahasa yang kurang sopan, singkatan perkataan dan sebagainya amat meluas dalam cerpen-cerpen yang dimuatkan dalam laman web tersebut. Saya yakin bahawa kebanyakan hasil karya yang dimuatkan dalam internet mempunyai masalah yang sama. Saya memang menghargai usaha mereka menghasilkan karya tetapi, mereka juga hendaklah memberi perhatian serius terhadap bahasa yang digunakan oleh mereka. Kebanyakan daripada mereka akan menyatakan bahawa mereka memaparkan situasi penggunaan bahasa yang sebenar dalam kalangan masyarakat. Namun, mereka perlu sedar bahawa hasil mereka hendaklah membantu memartabatkan bahasa Melayu tanpa sebarang pencemaran bahasa. Saya mengakui bahawa bahasa dalam cerpen memang tidak menggunakan bahasa yang baik dari segi struktur dan tatabahasa. Namun, saya menyeru agar pihak-pihak tersebut mencontohi penggunaan bahasa dalam hasil karya yang menjadi edisi pelajar tanpa sebarang pencemaran bahasa. Saya juga menghargai pencipta laman web ini yang memberi peluang kepada orang lain untuk berkarya. Namun, mereka hendaklah tegas dengan tidak memaparkan cerpen yang mengandungi masalah-masalah yang dinyatakan tadi. Saya tidak ingin memaparkan alamat laman web tersebut supaya pihak-pihak yang berkenaan tidak berasa tersinggung. Saya berharap kritikan saya dalam blog ini akan menyampaikan mesej secara tidak langsung kepada pihak tersebut.  

Bahasa dalam Fikiran Kita.

      Pada 16 Februari 2011, saya telah melayari internet untuk mencari video-video yang berkaitan dengan tugasan kursus Sosiolinguistik Melayu. Pada ketika tersebut, saya telah tertarik dengan suatu video. Video tersebut memaparkan tingkah laku seorang lelaki yang terjumpa dengan dompet di stesen bas. Dompet tersebut juga mengandungi banyak wang. Lelaki tersebut melihat dompet tersebut agak lama dan terpapar perkataan 'ambil' dan 'jangan' di bahagian atas kepalanya. Hal ini memberi gambaran bahawa lelaki tersebut menerima dua arahan yang berbeza iaitu 'ambil' dan 'jangan'. Dengan demikian, saya mendapati bahawa lelaki tersebut agak keliru untuk memilih arahan yang sesuai. Oleh itu, saya mendapati bahawa setiap manusia sering menerima arahan-arahan sedemikian untuk melakukan sesuatu perkara. Lazimnya, kita akan berkomunikasi dengan diri kita sendiri sebelum melakukan sesuatu perkara. Hal ini bermakna, terdapat suara yang sering berkomunikasi dengan diri kita. Perkara yang menarik dalam hal ini adalah seseorang individu sering menerima dua arahan yang berbeza sebelum melakukan sesuatu perkara. Ekoran itu, terdapat suara yang akan menyuruh kita melakukan perkara yang baik dan perkara yang tidak baik. Misalnya, arahan 'ambil' adalah arahan yang tidak baik yang menyuruh lelaki dalam video tersebut untuk mengambilnya. Manakala, arahan 'jangan' merupakan arahan yang baik bagi mengelakkan lelaki tersebut mengambil barang kepunyaan orang lain kerana wang tersebut bukanlah daripada hasil titik peluhnya. Dengan demikian, seseorang manusia hendaklah mengikut suara yang menyuruhnya melakukan kebaikan. Pada masa yang sama, ia hendaklah mempunyai pegangan yang kukuh dan mengelakkan suara yang menyuruhnya melakukan perkara tidak baik. Seseorang individu yang berjaya dalam kehidupan adalah orang yang mendengar suara yang menyuruhnya ke arah kebaikan. Dengan demikian, suara yang terlintas dalam fikiran juga merupakan suatu bahasa yang sering memberi arahan kepada seseorang dalam kehidupan sehariannya. Oleh itu, setiap manusia hendaklah bijak mengenal pasti suara yang menyuruh mereka melakukan perkara yang baik. 

Terlajak Perahu Boleh Diundur, Terlajak Kata Buruk Padahnya


    Pada 15 Februari 2011, saya telah melayari internet untuk mencari bahan bagi tugasan saya di meja makan di Kolej Harun Aminurrashid. Pada ketika tersebut, kawan kepada rakan serumah saya datang ke rumah untuk berjumpa dengannya. Mereka berdua berbual-bual dengan penuh riang. Tiba-tiba perbualan mereka menarik perhatian saya. Hal ini demikian kerana, saya terdengar suatu peribahasa yang disebutkan oleh kawan tersebut. Saya tidak mendengar keseluruhan perbualan mereka tetapi saya terdengar suatu peribahasa yang berbunyi 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya'. Peribahasa tersebut amat menarik perhatian saya. Ekoran itu, saya mula mencari makna bagi peribahasa tersebut menerusi internet. Ekoran itu, saya mendapati kita perlu sentiasa menjaga tutur kata supaya tidak menghadapi masalah kelak. Saya agak kagum dengan penggunaan peribahasa dalam kalangan generasi muda pada hari ini. Hal ini demikian kerana, saya beranggapan bahawa peribahasa digunakan oleh masyarakat pada zaman dahulu untuk menyampaikan sesuatu perkara secara tersirat atau halus dalam kehidupan seharian. Saya juga beranggapan bahawa generasi muda pada zaman sekarang tidak berminat untuk menggunakan peribahasa berdasarkan buku-buku yang pernah saya baca. Penggunaan peribahasa oleh kawan tersebut memberi kesedaran kepada saya bahawa penggunaannya masih wujud dalam kalangan generasi muda zaman sekarang. Oleh itu, penggunaan peribahasa dalam kalangan generasi muda memang suatu perkara yang mengembirakan. Justeru, saya berharap penggunaannya terus wujud dalam kehidupan seharian kita agar peribahasa tidak lenyap ditelan zaman.



Pages