Thursday, March 17, 2011

Laras Bahasa

Pada 5 Mac 2011, saya tidak mempunyai kelas pada hari tersebut. Dengan demikian, saya membuat keputusan untuk turun ke bawah untuk melihat berita pagi di TV3. Saya telah turun ke bawah untuk menonton siaran berita tersebut. Saya juga dapat melihat ramai pelajar yang datang untuk melihat siaran tersebut. Saya sempat menonton berita tersebut sehingga akhir. Perkara yang menarik minat saya dalam berita tersebut adalah penggunaan pelbagai laras bahasa seperti laras sukan, ekonomi dan sebagainya
Sebenarnya, laras bahasa merupakan ciri bahasa yang bersifat umum. Penggunaan bahasa yang berbeza-beza melahirkan laras. Penggunaan bahasa yang berbeza-beza berdasarkan situasi dan faktor lain mewujudkan kata-kata yanag tidak sama. Laras bahasa juga didefinisikan sebagai gaya dalam penggunaan sesuatu bahasa. Laras bahasa biasanya berubah-ubah mengikut situasi. Misalnya, terdapat pelbagai jenis laras bahasa yang digunakan dalam rancangan berita seperti laras sukan dan ekonomi. Ciri laras sukan yang digunakan ialah seperti finalti, separuh masa akhir, kad kuning, tendangan kencang, pukulan hebat dan sebagainya. Manakala laras ekonomi yang digunakan di dalam berita adalah seperti harga saham, pasaran, wang ringgit dan sebagainya. Sebenarnya, terdapat juga laras bahasa seperti sains, akademik, undang-undang, iklan, agama, media massa selain laras sukan dan ekonomi. Namun, saya sempat mengenal pasti laras bahasa sukan dan ekonomi dalam siaran berita tersebut.
Selain itu, saya turut mendapati bahawa gabungan penggunaan laras bahasa dalam rancangan berita dapat memberikan kesan positif terhadap keindahan bahasa dan keberkesanan komunikasi. Gabungan pelbagai laras bahasa juga dapat memberikan makna bagi gaya bahasa. Kaedah ini dapat menarik perhatian  para pembaca dan pendengar untuk terus memberikan tumpuan terhadap bahan yang dibaca atau didengarinya. Oleh itu, penggunaan laras bahasa memang penting dalan penulisan dan penuturan bagi menarik perhatian orang lain.

Kebenaran Penggunaan Singkatan

Pada 17 Mac 2011, saya telah menghadiri kelas Sosiolinguistik Melayu. Pada waktu tersebut, terdapat pembentangan kumpulan dalam kelas tersebut. Terdapat sesi soal jawab setelah satu kumpulan telah selesai menghabiskan pembentangan mereka. Terdapat banyak komen yang diberikan terhadap hasil pembentangan mereka. Pada ketika tersebut, saya mendapati bahawa salah seorang pembentang mengajukan soalan kepada pensyarah bagi menyelesaikan kekeliruannya. Ia mengajukan soalan mengenai kewajaran penggunaan singkatan. Pensyarah saya menjawab bahawa penggunaan singkatan memang dibenarkan terutamanya dalam pembentangan. Saya juga mendapati bahawa penggunaan singkatan dalam pembentangan memang wajar kerana pembentangan lebih menumpukan isi-isi yang penting sahaja dan perkataan-perkataan yang dipaparkan dalam skrin juga tidak seharusnya padat. Dengan demikian, penggunaan singkatan akan menyebabkan sesuatu paparan slaid tidak kelihatan terlalu padat. Sehubungan dengan itu, saya telah mendapat suatu pengetahuan baru mengenai kebenaran penggunaan singkatan dalam pembentangan. Hal ini demikian kerana, saya berpendapat bahawa singkatan langsung tidak boleh digunakan dalam pembentangan. Namun, saya telah mengubah persepsi saya pada hari ini. Pada masa yang sama, pensyarah saya juga menekankan bahawa singkatan yang memang tidak boleh difahami seperti cam tu, gi, mcm mne, ctu, cmne dan sebagainya adalah tidak dibenarkan. Saya agak tidak pasti penggunaan singkatan dalam situasi lain selain pembentangan kerana tumpuan saya terganggu ketika pensyarah menerangkannya. Hal ini demikian kerana, perbualan rakan di sebelah saya menyebabkan saya tidak dapat menguasai segala perkara yang diterangkan oleh pensyarah saya. Oleh itu, saya hanya menulis beberapa perkara yang sempat saya perolehi daripada penerangan tersebut dalam blog ini.

Manfaatkanlah Penggunaan Bahasa Halus

Pada 3 Mac 2011, saya telah duduk di kerusi yang terdapat di Proton City dan sedang menunggu kawan saya. Pada ketika tersebut, saya melihat sekumpulan pelajar perempuan sedang keluar dari kelas dan berjalan melintasi saya. Ekoran itu, saya terdengar perbualan salah seorang pelajar perempuan dari kumpulan tersebut. Ayat-ayat yang diucapkannya adalah seperti berikut:
“Aku nak kencing la. Korang pergi dulu la. Aku dah tak tahan ni. Aku nak pergi tandas jap.”
Sehubungan dengan itu, kita mendapati bahawa pelajar perempuan tersebut tidak menggunakan bahasa halus dalam situasi tersebut. Sebenarnya, pelajar tersebut boleh menggunakan perkataan ‘buang air kecil’ untuk mengantikan perkataan ‘kencing’ atau menggunakan ayat ‘aku nak pergi ke bilik air’. Saya menggunakan perkataan ‘nak’ bagi ‘hendak’ kerana perbualan tersebut tidak berlaku dalam situasi formal. Dengan demikian, ayat ‘aku nak pergi ke bilik air’ memberi makna tersirat bahawa ia hendak membuang air. Saya memang sering mendengar penggunaan perkataan ‘kencing’ dalam kalangan pelajar perempuan. Ekoran itu, satu perkara sering muncul dalam fikiran saya apabila terdengar perkataan tersebut dalam kalangan pelajar perempuan iaitu mereka tidak berasa segan menggunakan perkataan tersebut walaupun terdapat beberapa orang yang tidak dikenali di sebelah mereka. Saya akur bahawa mereka menggunakan perkataan tersebut dengan beranggapan bahawa orang yang berada di sekeliling adalah perempuan dan tidak perlu berasa segan menggunakannya. Namun, penggunaan perkataan tersebut akan menjadi tabiat sekiranya kerap digunakan dan mungkin seseorang perempuan mengucapkannya tanpa disedari ketika berada di khayalak lelaki. Dengan demikian, saya berpendapat bahawa penggunaan perkataan tersebut dalam kalangan pelajar perempuan tidak elok didengari oleh lelaki dan perkara tersebut akan mewujudkan keadaan yang tidak menyenangkan. Oleh itu, kita hendaklah memanfaatkan bahasa halus yang terdapat dalam bahasa Melayu.

O.k next

Pada 2 Mac 2011, saya telah menghadiri kelas Semantik dan Pragmatik Bahasa Melayu pada pukul lapan hingga sepuluh pagi. Terdapat pembentangan individu pada hari tersebut. Seorang pelajar perempuan mula melakukan pembentangannya pada pagi tersebut. Saya mendapati bahawa pelajar tersebut kerap menggunakan perkataan ‘O.k, next’ apabila beralih ke paparan skrin yang seterusnya. Rakan-rakan sekelas saya juga turut mendapati penggunaan perkataan tersebut dan mereka mula beri komen terhadap situasi tersebut. Saya berpendapat bahawa, pelajar tersebut boleh menggunakan perkataan ‘baiklah, seterusnya’ bagi menggantikan perkataan ‘O.k, next’. Hal ini demikian kerana, seseorang pelajar hendaklah menggunakan bahasa yang formal ketika melakukan pembentangan di hadapan kelas terutamanya pembentangan yang melibatkan kursus dalam Pendidikan Bahasa Melayu. Para pelajar yang mengambil bahasa Melayu sebagai subjek minor juga perlu peka dalam penggunaan bahasa Melayu yang tidak bercampur aduk dengan bahasa lain. Dengan demikian, penggunaan bahasa Melayu yang baik dalam situasi formal penting untuk menjamin perkembangannya secara berterusan.


Penggunaan Dialek

Pada 28 Februari 2011, saya telah menaiki bas dari Kolej Harun Aminurrashid ke kampus. Pada ketika tersebut, saya terdengar perbualan dua orang pelajar lelaki yang duduk di kerusi belakang bas. Pada ketika tersebut, saya telah berdiri berdekatan dengan mereka. Dengan demikian, saya dapat mendengar perbualan mereka. Ekoran itu, saya agak tertarik dengan penggunaan dialek dalam perbualan tersebut. Saya terdengar sebutan huruf ‘a’ pada akhir perkataan. Misalnya, sebutan perkataan ‘apa’ sangat berbeza daripada bunyi asal yang lazim saya dengar. Saya juga turut mendengar sebutan rakannya. Ia menyebut perkataan ‘apa’ sebagai ‘apέ’. Ekoran itu, saya mendapati bahawa pelajar lelaki tersebut mungkin berasal dari Perak. Hal ini demikian kerana, saya juga berasal dari Perak dan pernah mendengar perbualan rakan saya yang sering menyebut perkataan ‘apa’ sebagai ‘apέ'. Kemudian, saya teringin untuk mendengar perkataan tersebut dalam dialek yang lain. Ekoran itu, saya menyuruh rakan-rakan saya yang berasal dari Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah menyebut perkataan tersebut dalam dialek mereka. Dengan demikian, saya mendapati bahawa sesuatu perkataan mempunyai sebutan yang berbeza mengikut negeri yang berlainan dan dikenali sebagai dialek. Saya juga turut mendapati bahawa penggunaan dialek dalam kalangan masyarakat dapat membantu mengenal pasti identiti seseorang.

Salahkah?

Pada 17 Mac 2011, saya telah menaiki bas dari Kolej Harun Aminurrashid ke kampus. Pada ketika tersebut, saya terjumpa dengan rakan sekelas saya dan kami berbual-bual sepanjang perjalanan tersebut. Setelah sampai ke kampus, saya telah bergerak untuk turun dari bas. Pada ketika tersebut, saya tersentuh bahagian belakang seorang pelajar perempuan secara tidak sengaja. Saya berharap anda dapat memahami bahagian yang saya maksudkan. Selepas itu, saya meminta maaf kepada pelajar perempuan tersebut. Namun, pelajar tersebut menjeling ke arah saya. Saya memang berasa pelik dengan tindakan pelajar tersebut. Dua orang pelajar perempuan yang turut memerhatikan keadaan tersebut juga berasa pelik dengan jelingan pelajar tersebut. Kemudian, saya menuruni bas tersebut dan terus berjalan dengan rakan sekelas saya. Saya ternampak pelajar perempuan tersebut berjalan di hadapan saya. Pelajar tersebut menoleh ke belakang dan masih menjeling ke arah saya. Saya turut berasa agak marah dengan jelingan pelajar tersebut. Hal ini demikian kerana, saya telah meminta maaf kerana tersentuh bahagian belakang pelajar tersebut secara tidak sengaja. Kemarahan pelajar tersebut adalah wajar sekiranya diri saya adalah seorang lelaki. Namun, kami berdua adalah perempuan dan saya berasa perkara tersebut bukanlah suatu isu yang besar sehingga pelajar tersebut berkata sesuatu kepada rakannya sambil menjeling ke arah saya. Tindakan pelajar tersebut juga tidak wajar kerana ia masih marah walaupun saya telah meminta maaf. Saya berharap anda dapat memahami keadaan tersebut dan dapat menilai sama ada saya bersalah atau tidak. Pada pendapat saya, kesalahan yang tidak disengajakan oleh seseorang hendaklah dimaafkan dengan hati yang terbuka.


Wednesday, March 16, 2011

Perubahan Sikap

   Pada 16 Mac 2011, saya telah mengikuti beberapa orang rakan saya untuk menjalankan penyelidikan di Ketoyong bagi tugasan kumpulan. Terlebih dahulu, kami telah sampai ke kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pada ketika tersebut, salah seorang daripada rakan saya memberi cadangan agar menaiki bas yang menuju ke Stesen Keteta Api kerana tempat tersebut berdekatan dengan stesen tersebut. Kawan-kawan saya mula menuju ke arah bas tersebut dan berkomunikasi dengan pemandu bas tersebut. Pemandu bas tersebut bercakap kurang sopan dengan mereka dan saya berasa marah dengan sikapnya yang tidak berbudi bahasa. Namun, kawan-kawan saya tetap berinteraksi dengan menggunakan bahasa yang sopan kepada pemandu bas tersebut. Kemudian, dia menyuruh kami untuk naik ke dalam bas. Beberapa minit kemudian, segelintir pelajar turut datang untuk meminta kebenaran untuk naik ke dalam bas tersebut kerana ingin pergi ke pekan Tanjung Malim. Mereka juga turut dimarahi oleh pemandu bas tersebut. Saya mula berkongsi pendapat saya tentang kelakuan pemandu bas tersebut kepada dua rakan yang lain. Mereka juga tidak selesa dengan sikap pemandu tersebut. Kemudian, kami tetap mengucapkan terima kasih kepada pemandu tersebut ketika menuruni tangga bas. Pada ketika tersebut, saya terkejut apabila pemandu tersebut senyum kepada kami dan menasihati agar berjaga-jaga ketika melintas jalan. Ia juga meminta kami tunggu pada pukul lima petang di Stesen Kereta Api di Tanjung Malim supaya ia dapat menghantar kami di kampus. Kami memang terkejut dengan sikap pemandu tersebut yang berubah secara tiba-tiba. Pada ketika itu, saya menyesal kerana memarahi pemandu tersebut dengan rakan-rakan saya. Dengan demikian, saya berpendapat bahawa pemandu tersebut bersikap tidak sopan pada awalnya kerana tertekan dengan kerenah para pelajar yang ingin menaiki bas tersebut walaupun mereka sepatutnya menaiki bas lain. Saya juga berpendapat bahawa pemandu tersebut terharu dengan sikap kami yang tidak memarahinya malah mengucapkan terima kasih ketika menuruni tangga walaupun dimarahi olehnya. Oleh itu, saya mendapati bahawa sikap bersabar dan sopan santun yang ditunjukkan oleh kita mampu mengubah sikap orang lain agar turut mengikutinya.



Pages