Saturday, February 19, 2011

Betapa Pentingnya Penggunaan Bahasa yang Betul

Pada 11 Februari 2011, saya telah melayari internet untuk mencari maklumat mengenai modal insan dalam agama Islam bagi menyiapkan tugasan individu. Saya ingin mendapatkan maklumat tersebut kerana tidak mempunyai pengetahuan mengenai agama Islam. Saya telah memasuki blog salah seorang pelajar UPSI ketika mencari maklumat tersebut. Saya mendapati bahawa pelajar tersebut memang minat dengan agama Islam kerana terdapat hiasan pada blognya dengan gambar-gambar Islam. Saya terus melihat ke bahagian bawah dengan harapan dapat memperoleh lebih banyak maklumat mengenai topik yang dicari. "Apa ini?''. Soalan tersebut terus terlintas dalam fikiran saya apabila membaca artikel pelajar tersebut. Saya tidak mahu memaparkan bahasa yang digunakan oleh pelajar tersebut kerana khuathir hatinya akan tersinggung. Saya tidak berminat lagi membaca artikelnya kerana bahasa yang digunakan adalah tidak formal dan terdapat terlalu banyak singkatan sehingga sukar dibaca. Ekoran itu, penggunaan bahasa tersebut memberi gambaran kepada saya bahawa artikel tersebut tidak berkualiti dan berilmiah kerana pelajar tersebut hanya menulis perkara yang terlintas dalam fikirannya. Dengan demikian, saya dapat menyedari kepentingan penggunaan bahasa yang baik dari segi struktur dan tatabahasa bagi menghasilkan penulisan ilmiah yang dapat mewujudkan keyakinan dalam kalangan pembaca.

No comments:

Post a Comment

Pages