Thursday, February 24, 2011

Kesalahan bahasa pada papan tanda

   Pada 14 Februari 2011, saya telah melayari internet untuk mendapatkan ilham bagi tugasan drama bagi kursus Sosiolinguistik Melayu. Saya telah melihat suatu video yang menarik perhatian saya. Video tersebut dirakam oleh pelajar universiti bagi tujuan mengenal pasti kesalahan bahasa yang terdapat dalam papan tanda di hadapan kedai-kedai perniagaan. Misalnya, pelajar tersebut menunjukkan papan tanda yang mengandungi kesalahan bahasa iaitu ' Kedai Fashion Fong Lai San' (bukan nama sebenar). Kita dapat mengenal pasti kesalahan bahasa yang terdapat dalam papan tanda tersebut iaitu 'fashion'. Perkataan 'fashion' merupakan perkataan daripada bahasa Inggeris dan disesuaikan dengan bahasa Melayu dengan ejaan 'fesyen'. Peniaga tersebut sepatutnya menggunakan ejaan bahasa Melayu iaitu 'fesyen' dan bukan 'fashion'. Gabungan perkataan 'kedai fashion' memperlihatkan percampuran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Kesalahan sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana akan memberi kesan negatif terhadap perkembangan bahasa Melayu kita. Pada pendapat saya, pihak yang bertanggungjawab perlu mengenakan peraturan yang ketat terhadap penggunaan bahasa dalam papan tanda. Hal ini demikian kerana, penggunaan bahasa dalam papan tanda menjadi tontonan orang ramai. Oleh itu, perkara ini akan memberi kesan negatif terhadap perkembangan bahasa terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang baru belajar membaca bahasa Melayu. Dengan demikian, kita perlu sentiasa peka dalam penggunaan bahasa yang betul termasuk papan tanda perniagaan.

No comments:

Post a Comment

Pages