Saturday, February 12, 2011

Sikap Anda Mencerminkan Keperibadian Anda

Pada 9 Februari 2011, saya telah pergi ke Perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Saya telah memasuki tandas yang terletak di aras dua. Pada ketika itu, saya telah melihat suatu pengumuman yang ditampal di pintu tandas tersebut. Antara kata-kata yang tertera adalah seperti yang berikut:

 BAKAL GURU YANG DIHORMATI, SILA PASTIKAN TANDAS DI 'FLUSH' SELEPAS DIGUNAKAN DAN SAMPAH DIBUANG KE DALAM TONG SAMPAH SEBELUM KELUAR.
SILA GUNAKAN KEMUDAHAN YANG DISEDIAKAN DENGAN SEBAIK MUNGKIN.
SIKAP ANDA MENCERMINKAN KEPERIBADIAN ANDA.

Saya tertarik dengan kata-kata 'sikap anda mencerminkan keperibadian anda'. Perkataan sikap merujuk kepada perbuatan manakala perkataan keperibadian merujuk kepada sifat-sifat seseorang yang sudah sebati dengan dirinya sendiri. Peribadi juga dapat diertikan sebagai watak seseorang. Kata-kata 'sikap anda mencerminkan keperibadian anda' membawa makna bahawa segala perbuatan yang dilakukan akan mencerminkan atau menggambarkan watak atau sifat-sifat yang sudah sebati dengan diri kita. Misalnya, seseorang yang membuang sampah di tepi jalan akan memberi gambaran terhadap keperibadiannya sebagai individu yang tidak bertanggungjawab terhadap kebersihan awam, pengotor, mementingkan diri sendiri dan sebagainya. Gambaran yang sama juga dapat diperhatikan pada individu yang tidak menjirus air selepas menggunakan tandas dan tidak membuang sampah di tempat yang dikhaskan. Dengan ini, kita mendapati bahawa kata-kata 'sikap anda mencerminkan keperibadian anda' amat benar. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa menjaga tingkahlaku atau sikap kita di semua tempat bagi mencerminkan keperibadian yang baik. Sikap negatif yang diamalkan oleh seseorang akan memberi gambaran kepada orang lain bahawa individu tersebut tidak dididik dengan amalan atau sikap yang baik oleh ibu bapa sehinggga membentuk keperibadian yang negatif. Dengan demikian, perbuatan yang kita lakukan akan menjejaskan nama baik keluarga kita sebagai pihak yang gagal mendidik anak-anak dengan baik. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa mengamalkan sikap yang baik pada setiap masa kerana kita akan digelar sebagai guru yang akan mengajar bangsa Malaysia. Jadi, sentiasa ingatlah 'sikap anda mencerminkan keperibadian anda'.

 
 

No comments:

Post a Comment

Pages