Thursday, February 17, 2011

Di laksanakan?

       Pada 10 Februari 2011, saya telah berjalan kaki untuk pergi ke perhentian bas  yang berada di pintu timur Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pada ketika itu, saya telah melalui bangunan  E Learning. Saya dapat melihat sesuatu yang menarik perhatian saya iaitu papan tanda yang tertulis ' Awas! pembinaan sedang di jalankan'. Saya mendapati bahawa terdapat kesalahan tatabahasa pada perkataan 'di jalankan'. Hal ini demikian kerana, perkataan 'di jalankan' perlu dieja secara rapat dan tidak ada jarak di antaranya. Kata sendi nama 'di ' digunakan untuk menunjukkan tempat. Kata sendi tersebut juga hanya hadir di hadapan kata nama atau frasa nama. Misalnya, adik sedang menunggu di hadapan sekolah. Kita mendapati bahawa 'sekolah' merupakan kata nama dan merujuk kepada tempat. Oleh itu, kata sendi 'di' wajar hadir di hadapannya dan dieja terpisah. Sehubungan dengan  itu, perkataan 'jalankan' tidak merujuk kepada tempat atau kata nama malah merujuk kepada kata kerja. Frasa 'di jalankan' perlu dieja rapat kerana berfungsi sebagai kata kerja transitif pasif. Dengan demikian, kita hendaklah peka dalam penggunaan bahasa yang betul walaupun hanya ditulis pada papan tanda kerana perkara tersebut dibaca oleh orang ramai.




No comments:

Post a Comment

Pages