Friday, January 14, 2011

Peneguran

         Pada hari ini, saya telah belajar membuat blog dengan Syazwani. Saya amat selesa ketika belajar dengannya. Hal ini demikian kerana, Syazwani mengajar saya satu demi satu perkara dalam proses mencipta blog dengan tenang dan sabar. Saya amat tertarik dengan cara Syazwani membimbing saya. Pada ketika tersebut, saya teringat akan peristiwa yang berlaku ketika saya bekerja di sebuah kilang selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia. Saya sengaja bekerja di kilang tersebut untuk merasai kehidupan yang dilalui oleh masyarakat yang dianggap berkelas bawahan. Pada mulanya, saya memang terkejut dengan cara peneguran majikan terhadap pekerja-pekerjanya. Saya juga turut mendapati bahawa majikan tersebut dibantu oleh beberapa orang pekerja yang dilantik sebagai ketua untuk mengawal dan menjaga proses pengeluaran dalam kilang. Saya dapat melihat cara peneguran yang terlalu kasar terhadap pekerja-pekerja yang dianggap buta huruf apabila mereka melakukan kesilapan semasa membuat kerja. Mereka tetap dimarahi dengan teruk walaupun kebanyakan daripada mereka adalah lebih tua daripada ketua yang bertugas di sesuatu bahagian. Kadangkala, saya turut berasa simpati terhadap nasib mereka yang ditegur dengan penuh kasar.

       Sebenaarnya, ketua-ketua tersebut hendaklah prihatin terhadap perasaan pekerja-pekerja tersebut. Mereka juga merupakan manusia yang mempunyai perasaan seperti kita. Ketua-ketua tersebut hendaklah mengamalkan cara peneguran yang baik agar dapat mencegah pekerja-pekerja tersebut mengalami tekanan jiwa. Saya juga sedar bahawa kita hendaklah tidak merasakan diri kita hebat dengan pangkat dan gelaran yang dimiliki sehingga memandang rendah terhadap golongan bawahan. Kita hendaklah sedar bahawa segala yang dimiliki adalah hanyalah sementara waktu dan perlu menyayangi insan-insan lain seperti diri kita sendiri. Dengan demikian, setiap manusia hendaklah mengamalkan cara peneguran yang baik dalam semua keadaan agar tidak menyinggung perasaan orang lain.


No comments:

Post a Comment

Pages