Thursday, January 20, 2011

Faham tak?

           Pada 18 Januari 2011, saya kelihatan agak sibuk dan tertekan. Hal ini demikian kerana, saya terlibat dalam pengajaran mikro pada petang tersebut. Saya kelihatan agak gelisah kerana saya berasa demam sejak hari Sabtu yang lalu. Saya tidak mengambil sebarang ubat kerana tidak larat untuk pergi ke pusat kesihatan pada hari Sabtu dan Ahad. Pada hari Isnin pula, jadual kuliah saya terlalu padat dengan kelas dan saya tidak berpeluang untuk pergi ke pusat kesihatan. Pada 18 Januari 2011, saya masih demam dan suara saya pun tidak kuat. Saya amat risau untuk melakukan pengajaran mikro kerana takut markah akan terjejas. Saya juga tidak dapat menumpukan perhatian dan kerisauan terus mengantui saya. Namun, saya harus berterima kasih kepada Tuhan kerana giliran kumpulan kami untuk melakukan pengajaran  mikro telah ditangguhkan pada minggu depan. Walaupun, tugasan saya tertangguh namun, saya berasa diri saya diberi peluang lagi untuk melakukan persediaan yang baik. Pensyarah saya iaitu Dr. Idris Bin Mohd Radzi telah memberikan beberapa penjelasan tentang pengajaran mikro sebelum mengakhiri kelas. Beliau berkata ' jangan mulakan pengajaran dengan perkataan baiklah hari ini kita akan belajar mengenai......' . Hal ini demikian kerana, perkataan tersebut boleh menyebabkan para pelajar berasa bosan dan hilang semangat atau minat setelah mendengar perkataan 'belajar'. Oleh itu, kita hendaklah terus masuk ke dalam pengajaran di samping merangsang penglibatan pelajar. Misalnya, kita mulakan pengajaran dengan mengajukan beberapa soalan yang berkaitan dengan pengajaran kita. Perkara ini menyebabkan pelajar cuba memberikan respon terhadap soalan guru dan terlibat dalam pengajaran pada hari tersebut tanpa disedari. Terdapat satu lagi perkara yang ingin saya berkongsi dengan anda. Pada minggu kedua, Dr. Idris telah berkongsi beberapa perkara yang berkaitan dengan pengajaran di dalam bilik darjah. Beliau mengatakan bahawa kita perlu mengelakkan diri daripada menggunakan perkataam 'faham tak?' kepada pelajar. Hal ini demikian kerana, pelajar tidak akan memberikan respon yang baik terhadap soalan tersebut malah akan menjawab faham secara beramai-ramai walaupun tidak faham. Oleh itu, kita hendaklah mengajukan soalan-soalan yang berkaitan bagi menguji tahap pemahaman mereka. Saya berharap perkara-perkara ini dapat membantu rakan-rakan saya yang tidak mengikuti pengajaran Dr. Idris.

No comments:

Post a Comment

Pages