Wednesday, March 16, 2011

Bahasa dalam Fikiran Kita.

      Pada 16 Februari 2011, saya telah melayari internet untuk mencari video-video yang berkaitan dengan tugasan kursus Sosiolinguistik Melayu. Pada ketika tersebut, saya telah tertarik dengan suatu video. Video tersebut memaparkan tingkah laku seorang lelaki yang terjumpa dengan dompet di stesen bas. Dompet tersebut juga mengandungi banyak wang. Lelaki tersebut melihat dompet tersebut agak lama dan terpapar perkataan 'ambil' dan 'jangan' di bahagian atas kepalanya. Hal ini memberi gambaran bahawa lelaki tersebut menerima dua arahan yang berbeza iaitu 'ambil' dan 'jangan'. Dengan demikian, saya mendapati bahawa lelaki tersebut agak keliru untuk memilih arahan yang sesuai. Oleh itu, saya mendapati bahawa setiap manusia sering menerima arahan-arahan sedemikian untuk melakukan sesuatu perkara. Lazimnya, kita akan berkomunikasi dengan diri kita sendiri sebelum melakukan sesuatu perkara. Hal ini bermakna, terdapat suara yang sering berkomunikasi dengan diri kita. Perkara yang menarik dalam hal ini adalah seseorang individu sering menerima dua arahan yang berbeza sebelum melakukan sesuatu perkara. Ekoran itu, terdapat suara yang akan menyuruh kita melakukan perkara yang baik dan perkara yang tidak baik. Misalnya, arahan 'ambil' adalah arahan yang tidak baik yang menyuruh lelaki dalam video tersebut untuk mengambilnya. Manakala, arahan 'jangan' merupakan arahan yang baik bagi mengelakkan lelaki tersebut mengambil barang kepunyaan orang lain kerana wang tersebut bukanlah daripada hasil titik peluhnya. Dengan demikian, seseorang manusia hendaklah mengikut suara yang menyuruhnya melakukan kebaikan. Pada masa yang sama, ia hendaklah mempunyai pegangan yang kukuh dan mengelakkan suara yang menyuruhnya melakukan perkara tidak baik. Seseorang individu yang berjaya dalam kehidupan adalah orang yang mendengar suara yang menyuruhnya ke arah kebaikan. Dengan demikian, suara yang terlintas dalam fikiran juga merupakan suatu bahasa yang sering memberi arahan kepada seseorang dalam kehidupan sehariannya. Oleh itu, setiap manusia hendaklah bijak mengenal pasti suara yang menyuruh mereka melakukan perkara yang baik. 

No comments:

Post a Comment

Pages