Wednesday, March 16, 2011

Penggunaan Singkatan

    Pada 22 Februari 2011, saya telah mengemaskinikan nota kursus Analisis Wacana pada waktu malam. Saya mendapati bahawa terdapat penggunaan singkatan yang banyak dalam nota. Misalnya, yg, spt, sbg, dpt, p'tama, bdasarkn, mpluas, dterangkn, mnunjukn, tjawab dan sebagainya. Pada ketika itu, fikiran saya mula mengimbas kembali peristiwa yang menyebabkan saya mempelajari penggunaan singkatan ketika menulis nota. Pada tahun 2006, saya telah menuntut di tingkatan enam. Pada suatu hari, kelas saya dimasuki oleh seorang guru tingkatan enam. Guru tersebut mengajar matapelajaran Pengajian Perniagaan dan meminta kami menyalin maklumat yang ditulisnya pada papan putih. Beberapa minit kemudian, guru tersebut memadamkan maklumat tersebut sebelum kami sempat menyalinnya dan terus menulis maklumat yang lain.  Ekoran itu, kami memberitahu kepada guru tersebut bahawa tidak sempat menyalinnya. Pada ketika itu, guru tersebut menasihati kami agar menggunakan singkatan ketika menyalin nota supaya dapat menyalinnya dengan cepat. Sejak hari itu, saya memang sudah biasa menggunakan singkatan ketika menulis nota. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa perkara tersebut memberi kesan negatif kepada kami ketika menjawab dalam peperiksaan. Kami sering tertulis singkatan dalam kertas peperiksaan kerana sudah biasa berbuat demikian ketika menyalin nota. Kami juga sering ditegur oleh guru yang mengajar matapelajaran Bahasa Melayu agar tidak menggunakan singkatan ketika menulis jawapan dalam peperiksaan. Saya pasti kebanyakan pelajar yang menuntut di universiti termasuk pelajar yang mengambil kursus Pendidikan Bahasa Melayu menggunakan singkatan ketika menulis nota agar tidak ketinggalan mencatat maklumat yang penting sewaktu berada dalam bilik kuliah.
           Saya juga turut berfikir mengenai penggunaan singkatan dalam kalangan pelajar pada malam tersebut. Kebanyakan daripada pelajar memang kerap menghantar maklumat melalui Sistem Pesanan Ringkas(SMS). Kadang-kala singkatan yang digunakan oleh mereka dalam sistem tersebut langsung tidak dapat difahami. Malangnya, mereka turut menggunakan singkatan tersebut ketika menjawab dalam peperiksaan. Kemungkinan pelajar tersebut menggunakan singkatan secara sedar atau tanpa disedari. Dengan demikian, penggunaan sistem tersebut juga  merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi penggunaan singkatan dalam kalangan pelajar.
          Berdasarkan perkara di atas, saya berpendapat bahawa seseorang pelajar boleh menggunakan singkatan ketika menyalin nota tetapi mengelakkannya ketika menjawab dalam peperiksaan. Hal ini akan dapat membantu mengelakkan penggunaan singkatan dalam kalangan pelajar yang boleh mengundang pencemaran bahasa kelak.

No comments:

Post a Comment

Pages