Wednesday, March 16, 2011

Penggunaan Bahasa dalam Media Rasmi

   Pada 21 Februari 2011, saya telah membuat tugasan Sosiolinguistik Melayu mengenai perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran. Pada hari tersebut, saya tertumpu kepada cadangan dan penambahbaikan bagi memantapkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran. Terlebih dahulu, saya membaca sepintas lalu bahagian masalah dan cabaran yang berkaitan dengan tajuk tugasan tersebut supaya dapat mengaitkannya dalam bahagian tugasan saya. Pada ketika tersebut, saya mendapati bahawa penggunaan bahasa dalam media rasmi memang tidak memuaskan. Hal ini demikian kerana, wartawan menanyakan sesuatu soalan kepada pemimpin atau kakitangan kerajaan dalam bahasa Inggeris. Namun, pada hakikatnya kedua-duanya dapat memahami dan berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan. Pada masa yang sama, para pendengar atau penonton iaitu rakyat Malaysia juga dapat memahami bahasa Melayu. Dengan demikian, wujud  satu persoalan dengan tindakan mereka yang tidak mengutamakan bahasa Melayu. Selain itu, terdapat juga penggunaan sari kata yang tidak bermutu dalam media rasmi. Sebenarnya, media rasmi perlu peka dalam memastikan penggunaan sari kata yang bermutu agar dapat menjadi contoh kepada media-media yang lain. Terdapat beberapa cadangan yang saya peroleh menerusi bahan rujukan. Antaranya, Panel Penilai dan Penyunting Bahasa Skrip rancangan-rancangan diwujudkan bagi mengawal mutu bahasa dalam RTM, penataran bahasa perlu diberikan dari semasa ke semasa kepada penyair, penulis berita, penerbit dan kakitangan penting yang lain, rancangan-rancangan televisyen dialih kepada bahasa Melayu, penterjemah-penterjemah bahasa ditempatkan di bahagian khas RTM dan sebagainya. Tambahan pula, para wartawan perlu menggunakan bahasa Melayu ketika menemu ramah para pemimpin dan kakitangan kerajaan. Ekoran itu, saya mendapati bahawa langkah-langkah tersebut amat penting bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu yang mantap dan berkualiti dalam media rasmi kerana media yang menjadi tontonan orang ramai cepat memberi kesan sama ada negatif atau positif dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, saya berharap bahawa pembaca blog saya ini dapat memahami tentang kepentingan penggunaan bahasa dalam media rasmi.


No comments:

Post a Comment

Pages