Wednesday, March 16, 2011

Perubahan Sikap

   Pada 16 Mac 2011, saya telah mengikuti beberapa orang rakan saya untuk menjalankan penyelidikan di Ketoyong bagi tugasan kumpulan. Terlebih dahulu, kami telah sampai ke kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pada ketika tersebut, salah seorang daripada rakan saya memberi cadangan agar menaiki bas yang menuju ke Stesen Keteta Api kerana tempat tersebut berdekatan dengan stesen tersebut. Kawan-kawan saya mula menuju ke arah bas tersebut dan berkomunikasi dengan pemandu bas tersebut. Pemandu bas tersebut bercakap kurang sopan dengan mereka dan saya berasa marah dengan sikapnya yang tidak berbudi bahasa. Namun, kawan-kawan saya tetap berinteraksi dengan menggunakan bahasa yang sopan kepada pemandu bas tersebut. Kemudian, dia menyuruh kami untuk naik ke dalam bas. Beberapa minit kemudian, segelintir pelajar turut datang untuk meminta kebenaran untuk naik ke dalam bas tersebut kerana ingin pergi ke pekan Tanjung Malim. Mereka juga turut dimarahi oleh pemandu bas tersebut. Saya mula berkongsi pendapat saya tentang kelakuan pemandu bas tersebut kepada dua rakan yang lain. Mereka juga tidak selesa dengan sikap pemandu tersebut. Kemudian, kami tetap mengucapkan terima kasih kepada pemandu tersebut ketika menuruni tangga bas. Pada ketika tersebut, saya terkejut apabila pemandu tersebut senyum kepada kami dan menasihati agar berjaga-jaga ketika melintas jalan. Ia juga meminta kami tunggu pada pukul lima petang di Stesen Kereta Api di Tanjung Malim supaya ia dapat menghantar kami di kampus. Kami memang terkejut dengan sikap pemandu tersebut yang berubah secara tiba-tiba. Pada ketika itu, saya menyesal kerana memarahi pemandu tersebut dengan rakan-rakan saya. Dengan demikian, saya berpendapat bahawa pemandu tersebut bersikap tidak sopan pada awalnya kerana tertekan dengan kerenah para pelajar yang ingin menaiki bas tersebut walaupun mereka sepatutnya menaiki bas lain. Saya juga berpendapat bahawa pemandu tersebut terharu dengan sikap kami yang tidak memarahinya malah mengucapkan terima kasih ketika menuruni tangga walaupun dimarahi olehnya. Oleh itu, saya mendapati bahawa sikap bersabar dan sopan santun yang ditunjukkan oleh kita mampu mengubah sikap orang lain agar turut mengikutinya.



No comments:

Post a Comment

Pages