Wednesday, March 16, 2011

Peribahasa warisan kita

     Pada 25 Februari 2011, saya telah melayari internet untuk mencari bahan bagi tugasan Semantik dan Pragmatik Bahasa Melayu. Saya telah mencari peribahasa yang dapat dikaitkan dengan tajuk tugasan saya. Pada ketika tersebut, saya terjumpa satu laman web yang memaparkan pelbagai peribahasa yang telah diubahsuai. Penulis tersebut menyatakan bahawa mindanya tenang dan hatinya terhibur apabila membaca peribahasa ciptaannya. Namun, peribahasanya menyebabkan saya berasa kesal dengan tindakannya. Antara peribahasa yang dipaparkannya adalah seperti yang berikut:

1) Harimau mati meninggalkan belang, Isteri mati meninggalkan gelang, suami mati meninggalkan hutang.
2)Sebab pulut santan binasa sebab mulut tak pasal-pasal kena saman malu berjuta-juta...
3)Kalau tiada angin masakan pokok bergoyang kecuali kalau ada beruk atas pokok tu.
4)Kalau padi katakan padi, tidak aku ternanti-nanti, kalau sudi katakan sudi, kalau tak sudi bukan kau sorang dalam dunia ni.....boleh blahlah....
5)Biar lambat asalkan tak kena speed trap.
6)Takkan lari gunung dikejar, Tapi pasti gunung takkan datang kalau setakat dok tunggu aje...
7)Lembu punya susu, Ducth-Lady dapat nama.
 Penulis tersebut juga memberi ruang kepada rakan-rakan lain bagi menyelitkan peribahasa yang diubahsuai oleh mereka. Antara peribahasa yang diubahsuai oleh rakan-rakannya adalah seperti yang berikut:
1)Di Mana Ada Kemahuan, Di situ ada HIGHWAY ( Ini Adnan Sempit punya)
2) Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, Berblog-blog dahulu, Nanti dapat Income dari Nuffnang kemudian.
3) Makan hati berulamkan jantung pisang, dimakan pula dengan Ikan Bilis dan Tempe Cili Padi, di masak oleh Kak Ina KL, terbaik punya.
4)Tempat jatuh lagi dikenang, Inikan pula tempat Shopping (ditujukan khas buat kaum Wanita, hik3)
5) Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, Kalau hari-hari hujan sebegini, bila masa aku boleh mandi air hujan?
6) Habis Madu Sepah akhirnya Menang Raja Lawak
7) Pinggan tak retak, nasi tak dingin, orang tak hendak, peduli apa aku, Isteri aku ingin
8) Jinak-jinak si burung merpati, jinak lagi si Bean Moreno (hik3 lagi)
9)Takkan lari gunung di kejar, hilang kabus nampaklah puncaknya (pantun Cikgu Maths aku semasa sekolah yang berbaur 18SX)
10)Kajang Pak Malau Kajang Berlipat, Kajang hamba, Sate Kajang memang sedap sekali.
     Saya pasti bahawa anda juga berasa kesal dengan perbuatan remaja tersebut yang mengubahsuai peribahasa tanpa mengenal nilai warisan tersebut. Saya akur bahawa remaja tersebut berbuat demikian agar dapat menghiburkan para pembaca. Namun, perkara ini menggambarkan sikap remaja tersebut yang tidak menghargai nilai peribahasa yang mengandungi makna mendalam yang dapat dijadikan pedoman dalam kehidupan. Remaja tersebut juga turut menyediakan ruang kepada pembaca lain untuk menulis peribahasa yang telah diubahsuai oleh mereka dalam laman web tersebut. Malangnya, perkara ini dapat mempangaruhi pembaca lain untuk berbuat demikian. Saya khuatir bahawa perkara yang tidak bertanggungjawab ini turut memberi kesan negatif dalam kalangan pelajar sekolah sehingga mereka menggunakannya dalam penulisan karangan. Dengan ini, saya mendapati bahawa perbuatan tersebut akan menyebabkan kesan negatif yang teruk terhadap nilai peribahasa sekiranya penggunaan peribahasa yang telah diubahsuai menular dalam internet. Oleh itu, saya berharap agar remaja tersebut tidak memandang remeh terhadap perkara ini kerana perbuatannya bakal melenyapkan peribahasa yang menjadi warisan masyarakat Melayu selama ini.


No comments:

Post a Comment

Pages