Thursday, March 17, 2011

Pembentukan Masyarakat Berbudi Pekerti

Pada 12 Mac 2011, saya tidak mempunyai kuliah. Kesempatan ini telah saya gunakan untuk pergi ke pekan Tanjung Malim. Saya telah melihat seorang perempuan tua bersama dengan seorang budak perempuan di pekan tersebut. Budak perempuan tersebut mungkin berusia 12 tahun sahaja. Saya telah tertarik dengan perlakuan budak perempuan tersebut. Hal ini demikian kerana, saya mendapati bahawa budak perempuan tersebut sangat menghormati ibunya. Misalnya, saya memerhati tingkah laku budak tersebut yang segera mengangkat bakul yang dipenuhi barang-barang yang dibeli serta memimpin tangan ibunya.
Selain itu, saya juga turut melihat tindakan budak perempuan tersebut yang sanggup memberikan tempat duduk kepada seorang lelaki tua. Saya amat hairan dengan sikap budak tersebut. Dengan demikian, saya mendapati bahawa budak tersebut telah dididik dengan baik oleh ibunya. Misalnya, budak tersebut telah didik tentang cara untuk menghormati orang tua. Budi bahasa yang dimilikinya pada usia ini menarik perhatian saya. Saya juga memuji ibunya dalam hati saya. Saya juga percaya bahawa tingkah laku tersebut pasti dimilikinya walaupun budak perempuan tersebut menjadi dewasa kelak. Hal ini demikian kerana, didikan sejak kecil lagi akan terpahat dalam hati seseorang dan seterusnya akan membentuk peribadi mereka. Oleh itu, didikan yang baik sejak kecil lagi sangat penting dalam sesebuah keluarga. Saya pasti bahawa ramai muda mudi dan orang dewasa tidak mempunyai sifat yang dimiliki oleh budak perempuan tersebut. Hal ini mungkin disebabkan oleh faktor keluarga atau persekitaran. Walau bagaimanapun, saya berhasrat dalam hati saya untuk membentuk nilai-nilai yang baik dalam kalangan anak-anak saya pada masa akan datang. Saya juga turut berpendapat bahawa negara kita akan terdiri daripada masyarakat yang berbudi pekerti jika setiap rakyat di negara ini bertekad untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan anak-anak mereka sejak kecil lagi.


No comments:

Post a Comment

Pages