Thursday, March 17, 2011

Berhemah

Pada 7 Mac 2011, saya telah pergi ke kelas Pembangunan Modal Indan dalam Kesusasteraan Melayu yang dijalankan di Proton City. Kelas tersebut diadakan dari jam 8 pagi sehingga 10 pagi. Selepas kelas tamat, saya menunggu bas untuk pergi ke kampus. Terdapat ramai lagi pelajar yang turut menunggu untuk pergi ke kampus. Beberapa minit kemudian, bas telah pun sampai dan saya menaiki bas tersebut bersama pelajar-pelajar lain. Saya hanya dapat berdiri berdekatan dengan pemandu bas kerana ramai pelajar telah mendahului saya ketika menaiki bas. Suatu kejadian telah berlaku apabila bas tiba di kampus. Peristiwa tersebut memang mengejutkan kami. Hal ini demikian kerana, pemandu bas tersebut telah berasa marah dengan tindakan seorang pemandu lori yang meletakkan lorinya di tempat letak bas. Lori tersebut juga diletakkan berdekatan dengan selekoh. Ekoran itu, pemandu bas UPSI tersebut melenting lalu menjerit ke arah pemandu lori. Antara kata-kata yang diucapkannya adalah seperti berikut:
“Ada otak ke? Dah tau tempat bas masih parking kat sini".
            Selepas itu, pemandu lori tersebut segera mengalihkan kenderaannya ke tempat lain. Saya juga berasa pelik dengan sikap pemandu bas tersebut yang berubah secara tiba-tiba. Hal ini demikian kerana, pemandu tersebut telah senyum dan menasihati saya supaya pegang dengan kuat ketika saya menaiki bas dari Proton City ke kampus. Saya juga beranggapan bahawa pemandu bas tersebut adalah baik. Namun,, perlakuan pemandu tersebut yang menghamburkan kata-kata kasarnya kepada pemandu lori menyebabkan saya berasa terkilan dengannya.
            Sebenarnya, kita tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata kasar yang boleh menjatuhkan maruah orang lain terutamanya apabila ia berada di khalayak. Kita hendaklah sentiasa meletakkan diri kita pada tempat orang lain dan sentiasa berfikir perasaan yang akan kita alami sekiranya menghadapi situasi sedemikian. Pada masa yang sama, saya tetap akur bahawa tindakan pemandu lori tersebut adalah salah. Namun, pemandu bas tersebut tidak harus bertindak sedemikian untuk menegur kejadian tersebut. Saya juga berpendapat bahawa kita hendaklah mengelakkan penggunaan kata-kata yang kasar seperti pemandu bas tersebut kerana perkara tersebut boleh mengundang pergaduhan yang besar. Dengan demikian, kita hendaklah sentiasa bertindak hemah dalam semua hal.

No comments:

Post a Comment

Pages