Wednesday, March 16, 2011

Kaedah Peneguran yang Tidak Baik

   Pada 18 Februari 2011, saya telah pergi ke rumah kawan A untuk berbincang mengenai tugasan. Tiba-tiba saya agak terkejut apabila seorang lagi kawan B telah datang ke rumah tersebut dan terus memarahi kawan A. Saya tidak ingin menceritakan perkara yang menyebabkan kawan B berasa tidak puas hati terhadap kawan A. Namun, saya dapat menyedari bahawa terdapat salah faham antara kedua-dua rakan tersebut. Beberapa minit kemudian, kawasan A cuba menenangkan kawan B tetapi tidak berjaya. Pada ketika tersebut, saya berasa amat kasihan terhadap kawan A saya. Namun, kawan A dapat menenangkan keadaan tersebut dengan meminta maaf kepada kawan B. Kemudian, saya melihat kawan B telah kembali tenang. Dalam hal ini, saya berasa kagum dengan sikap kawan A yang sanggup mendengar luahan perasaan yang agak kasar daripada kawan B dan ia telah bijak bertindak dengan meminta maaf kepadanya bagi mengawal keadaan. Saya pasti keadaan akan menjadi lebih teruk sekiranya kawan A juga tidak dapat mengawal perasaannya. Pada masa yang sama, saya berasa kawan B tidak patut bertindak sedemikian malah ia sepatutnya meluahkan perasaan tidak puas hatinya dengan cara yang berhemah. Kemungkinan kawan B berasa terlalu marah dan bertindak di luar kesedaran. Dengan ini, saya mendapati bahawa kita hendaklah sentiasa prihatin terhadap perasaan orang lain dan perlu menggunakan kaedah peneguran yang baik supaya sesuatu masalah dapat diselesaikan dengan aman tanpa menyakiti sesiapa. Di samping itu, kita juga perlu peka dalam mengawal perasaan dalam sebarang situasi agar tidak bertindak di luar kawalan sehingga menyinggung perasaan orang lain. Oleh itu, saya berharap agar pembaca blog saya dapat menggunakan kaedah peneguran yang baik dalam sebarang situasi.

No comments:

Post a Comment

Pages