Pada 23 Februari 2011, saya telah balik ke rumah iaitu dari Proton City ke Kolej Harun Aminurrashid. Saya melihat rakan serumah saya duduk di meja makan ketika pintu rumah dibuka. Saya terus senyum setelah melihat wajahnya. Namun, dia terus mengalih pandangannya ke tempat lain seolah-olah tidak melihat keadaan tersebut. Saya berasa agak tidak selesa dengan keadaan tersebut dan muka saya pun kelihatan pucat. Sebenarnya, rakan serumah saya memang bersikap begitu dan keadaan tersebut bukanlah baru kepada saya. Namun, saya tetap berasa tidak selesa dengan kejadian tersebut. Kemudian, saya pergi ke perpustakaan untuk meminjam buku dan balik ke rumah pada waktu petang. Saya amat penat pada ketika tersebut. Saya membuat keputusan untuk tidak senyum sekiranya rakan serumah saya berada di meja makan ketika saya memasuki rumah. Setelah saya memasuki rumah, satu suara mesra dan riang menyambut kedatangan saya. Kata-kata yang diucapkan kepada saya ialah 'Hai kak Bawani. Baru sampai ye? Sebenarnya, perkataan itu diucapkan dengan senyuman manis oleh rakan serumah saya yang lain. Saya berasa bertenaga dan berseri apabila mendengar teguran yang begitu mesra. Pada ketika tersebut, saya berasa segala penat hilang dalam sesaat. Dengan ini, kita mendapati bahawa betapa hebatnya senyuman dan kata-kata manis bagi menyegarkan seseorang. Adakah terlalu susah untuk senyum pada orang lain? Saya sendiri tidak mengerti dengan sikap manusia yang sedemikian. Saya menyeru kepada pembaca blog ini agar tidak bersikap demikian kepada orang lain.
Wednesday, March 16, 2011
Penggunaan Singkatan
Pada 22 Februari 2011, saya telah mengemaskinikan nota kursus Analisis Wacana pada waktu malam. Saya mendapati bahawa terdapat penggunaan singkatan yang banyak dalam nota. Misalnya, yg, spt, sbg, dpt, p'tama, bdasarkn, mpluas, dterangkn, mnunjukn, tjawab dan sebagainya. Pada ketika itu, fikiran saya mula mengimbas kembali peristiwa yang menyebabkan saya mempelajari penggunaan singkatan ketika menulis nota. Pada tahun 2006, saya telah menuntut di tingkatan enam. Pada suatu hari, kelas saya dimasuki oleh seorang guru tingkatan enam. Guru tersebut mengajar matapelajaran Pengajian Perniagaan dan meminta kami menyalin maklumat yang ditulisnya pada papan putih. Beberapa minit kemudian, guru tersebut memadamkan maklumat tersebut sebelum kami sempat menyalinnya dan terus menulis maklumat yang lain. Ekoran itu, kami memberitahu kepada guru tersebut bahawa tidak sempat menyalinnya. Pada ketika itu, guru tersebut menasihati kami agar menggunakan singkatan ketika menyalin nota supaya dapat menyalinnya dengan cepat. Sejak hari itu, saya memang sudah biasa menggunakan singkatan ketika menulis nota. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa perkara tersebut memberi kesan negatif kepada kami ketika menjawab dalam peperiksaan. Kami sering tertulis singkatan dalam kertas peperiksaan kerana sudah biasa berbuat demikian ketika menyalin nota. Kami juga sering ditegur oleh guru yang mengajar matapelajaran Bahasa Melayu agar tidak menggunakan singkatan ketika menulis jawapan dalam peperiksaan. Saya pasti kebanyakan pelajar yang menuntut di universiti termasuk pelajar yang mengambil kursus Pendidikan Bahasa Melayu menggunakan singkatan ketika menulis nota agar tidak ketinggalan mencatat maklumat yang penting sewaktu berada dalam bilik kuliah.
Saya juga turut berfikir mengenai penggunaan singkatan dalam kalangan pelajar pada malam tersebut. Kebanyakan daripada pelajar memang kerap menghantar maklumat melalui Sistem Pesanan Ringkas(SMS). Kadang-kala singkatan yang digunakan oleh mereka dalam sistem tersebut langsung tidak dapat difahami. Malangnya, mereka turut menggunakan singkatan tersebut ketika menjawab dalam peperiksaan. Kemungkinan pelajar tersebut menggunakan singkatan secara sedar atau tanpa disedari. Dengan demikian, penggunaan sistem tersebut juga merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi penggunaan singkatan dalam kalangan pelajar.
Berdasarkan perkara di atas, saya berpendapat bahawa seseorang pelajar boleh menggunakan singkatan ketika menyalin nota tetapi mengelakkannya ketika menjawab dalam peperiksaan. Hal ini akan dapat membantu mengelakkan penggunaan singkatan dalam kalangan pelajar yang boleh mengundang pencemaran bahasa kelak.
Saya juga turut berfikir mengenai penggunaan singkatan dalam kalangan pelajar pada malam tersebut. Kebanyakan daripada pelajar memang kerap menghantar maklumat melalui Sistem Pesanan Ringkas(SMS). Kadang-kala singkatan yang digunakan oleh mereka dalam sistem tersebut langsung tidak dapat difahami. Malangnya, mereka turut menggunakan singkatan tersebut ketika menjawab dalam peperiksaan. Kemungkinan pelajar tersebut menggunakan singkatan secara sedar atau tanpa disedari. Dengan demikian, penggunaan sistem tersebut juga merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi penggunaan singkatan dalam kalangan pelajar.
Berdasarkan perkara di atas, saya berpendapat bahawa seseorang pelajar boleh menggunakan singkatan ketika menyalin nota tetapi mengelakkannya ketika menjawab dalam peperiksaan. Hal ini akan dapat membantu mengelakkan penggunaan singkatan dalam kalangan pelajar yang boleh mengundang pencemaran bahasa kelak.
Penggunaan Bahasa dalam Media Rasmi
Pada 21 Februari 2011, saya telah membuat tugasan Sosiolinguistik Melayu mengenai perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran. Pada hari tersebut, saya tertumpu kepada cadangan dan penambahbaikan bagi memantapkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran. Terlebih dahulu, saya membaca sepintas lalu bahagian masalah dan cabaran yang berkaitan dengan tajuk tugasan tersebut supaya dapat mengaitkannya dalam bahagian tugasan saya. Pada ketika tersebut, saya mendapati bahawa penggunaan bahasa dalam media rasmi memang tidak memuaskan. Hal ini demikian kerana, wartawan menanyakan sesuatu soalan kepada pemimpin atau kakitangan kerajaan dalam bahasa Inggeris. Namun, pada hakikatnya kedua-duanya dapat memahami dan berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan. Pada masa yang sama, para pendengar atau penonton iaitu rakyat Malaysia juga dapat memahami bahasa Melayu. Dengan demikian, wujud satu persoalan dengan tindakan mereka yang tidak mengutamakan bahasa Melayu. Selain itu, terdapat juga penggunaan sari kata yang tidak bermutu dalam media rasmi. Sebenarnya, media rasmi perlu peka dalam memastikan penggunaan sari kata yang bermutu agar dapat menjadi contoh kepada media-media yang lain. Terdapat beberapa cadangan yang saya peroleh menerusi bahan rujukan. Antaranya, Panel Penilai dan Penyunting Bahasa Skrip rancangan-rancangan diwujudkan bagi mengawal mutu bahasa dalam RTM, penataran bahasa perlu diberikan dari semasa ke semasa kepada penyair, penulis berita, penerbit dan kakitangan penting yang lain, rancangan-rancangan televisyen dialih kepada bahasa Melayu, penterjemah-penterjemah bahasa ditempatkan di bahagian khas RTM dan sebagainya. Tambahan pula, para wartawan perlu menggunakan bahasa Melayu ketika menemu ramah para pemimpin dan kakitangan kerajaan. Ekoran itu, saya mendapati bahawa langkah-langkah tersebut amat penting bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu yang mantap dan berkualiti dalam media rasmi kerana media yang menjadi tontonan orang ramai cepat memberi kesan sama ada negatif atau positif dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, saya berharap bahawa pembaca blog saya ini dapat memahami tentang kepentingan penggunaan bahasa dalam media rasmi.
Kaedah Peneguran yang Tidak Baik
Pada 18 Februari 2011, saya telah pergi ke rumah kawan A untuk berbincang mengenai tugasan. Tiba-tiba saya agak terkejut apabila seorang lagi kawan B telah datang ke rumah tersebut dan terus memarahi kawan A. Saya tidak ingin menceritakan perkara yang menyebabkan kawan B berasa tidak puas hati terhadap kawan A. Namun, saya dapat menyedari bahawa terdapat salah faham antara kedua-dua rakan tersebut. Beberapa minit kemudian, kawasan A cuba menenangkan kawan B tetapi tidak berjaya. Pada ketika tersebut, saya berasa amat kasihan terhadap kawan A saya. Namun, kawan A dapat menenangkan keadaan tersebut dengan meminta maaf kepada kawan B. Kemudian, saya melihat kawan B telah kembali tenang. Dalam hal ini, saya berasa kagum dengan sikap kawan A yang sanggup mendengar luahan perasaan yang agak kasar daripada kawan B dan ia telah bijak bertindak dengan meminta maaf kepadanya bagi mengawal keadaan. Saya pasti keadaan akan menjadi lebih teruk sekiranya kawan A juga tidak dapat mengawal perasaannya. Pada masa yang sama, saya berasa kawan B tidak patut bertindak sedemikian malah ia sepatutnya meluahkan perasaan tidak puas hatinya dengan cara yang berhemah. Kemungkinan kawan B berasa terlalu marah dan bertindak di luar kesedaran. Dengan ini, saya mendapati bahawa kita hendaklah sentiasa prihatin terhadap perasaan orang lain dan perlu menggunakan kaedah peneguran yang baik supaya sesuatu masalah dapat diselesaikan dengan aman tanpa menyakiti sesiapa. Di samping itu, kita juga perlu peka dalam mengawal perasaan dalam sebarang situasi agar tidak bertindak di luar kawalan sehingga menyinggung perasaan orang lain. Oleh itu, saya berharap agar pembaca blog saya dapat menggunakan kaedah peneguran yang baik dalam sebarang situasi.
Bahasa dalam Cerpen
Pada 17 Februari 2011, saya telah melayari internet untuk mencari beberapa buah cerpen bagi mengkaji bahasa yang digunakan di dalamnya bagi tugasan kursus Analisis Wacana. Ekoran itu, saya terjumpa dengan sebuah laman web yang memberi peluang kepada semua orang untuk memuatkan hasil karya mereka. Saya mendapati bahawa terdapat banyak koleksi cerpen yang dapat memenuhi cita rasa pembaca yang pelbagai. Saya terpaksa membaca keseluruhan cerpen-cerpen tersebut untuk mengkaji bahasanya dari segi tujuh tahap ketekstualan. Malangnya, saya berasa amat kesal dan pening untuk membaca cerpen-cerpen tersebut. Hal ini demikian kerana, penggunaan bahasa yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris, singkatan perkataan, penggunaan dialek dan sebagainya memberi tekanan kepada saya untuk memahami kandungannya. Namun, saya tetap mengakui bahawa terdapat cerpen yang mengandungi jalan cerita dan gaya penyampaian yang amat menarik dan memberi kesan kepada diri saya seperti sedih, gembira dan sebagainya. Antara contoh-contoh penggunaan bahasa dalam cerpen adalah seperti yang berikut:
“Baby, dah siap?”Tanya Iqmal Zyad sambil memandang fail yang berlambak di hadapan matanya. Sebelah tangannya sibuk memusing ligat pen yang dipegangnya tanda dia berfikir. Sesekali kening tebal hamper sahaja bercantum.
“Not yet bie. Could you please come here and wait for me?” Tanya Syeera Umaira manja sahaja bunyinya di hujung talian.
“I can’t baby. Baby siap dulu, dah siap nanti, give me a call. O.K sayang? Bie banyak kerja sangat ni.” Beberapa ayat diturunkan di atas kertas yang menjadi perhatian matanya kala itu. Pen berdakwat itu mula menjalankan kerjanya.
“Fine. Setengah jam lagi baby call. Bye bie. Assalamualikum.” Masih lagi manja dan lembut bunyi suaranya.
Hello,miss. Ikut suka hati kitorang la. Nak bukak ke, nak tutup. Mind your own business. At least baju kitorang ni vukup benang, tak macam you. Bukan setakat tak cukup benang, tak cukup kain lagi. Nak suruh I sponsorkkan kain ke? Wa pedas gila Niza sembur.
Kurang masam ajinomoto punya budak.
“Kiki, kau tau tak?”kawannya yang dipanggil itu Nana tu bertanya.
“Tau ape? Kau tak cakap mane aku tau ape yg kau tahu?” Aku berpaling memandangnya. Sedang aku kusyuk membaca dia kacau pulak. Daripada aku tak boleh nak tumpu perhatian membaca baik aku layan budak sorang nie.
Dia la satu-satunya kawan baik aku.
“Aku dengar ada budak baru kat sekolah kita tau”
“Owh..ingat ape lah tadi..ko nie..ape pulak nak herannya..biasa la tu budak baru masuk budak lama keluar..cam tak biasa pulak”
Saya pasti anda sebagai pembaca blog ini akan merasai perkara yang sama seperti yang saya lalui. Dengan ini, jelas bahawa penggunaan bahasa yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris, dialek, bahasa yang kurang sopan, singkatan perkataan dan sebagainya amat meluas dalam cerpen-cerpen yang dimuatkan dalam laman web tersebut. Saya yakin bahawa kebanyakan hasil karya yang dimuatkan dalam internet mempunyai masalah yang sama. Saya memang menghargai usaha mereka menghasilkan karya tetapi, mereka juga hendaklah memberi perhatian serius terhadap bahasa yang digunakan oleh mereka. Kebanyakan daripada mereka akan menyatakan bahawa mereka memaparkan situasi penggunaan bahasa yang sebenar dalam kalangan masyarakat. Namun, mereka perlu sedar bahawa hasil mereka hendaklah membantu memartabatkan bahasa Melayu tanpa sebarang pencemaran bahasa. Saya mengakui bahawa bahasa dalam cerpen memang tidak menggunakan bahasa yang baik dari segi struktur dan tatabahasa. Namun, saya menyeru agar pihak-pihak tersebut mencontohi penggunaan bahasa dalam hasil karya yang menjadi edisi pelajar tanpa sebarang pencemaran bahasa. Saya juga menghargai pencipta laman web ini yang memberi peluang kepada orang lain untuk berkarya. Namun, mereka hendaklah tegas dengan tidak memaparkan cerpen yang mengandungi masalah-masalah yang dinyatakan tadi. Saya tidak ingin memaparkan alamat laman web tersebut supaya pihak-pihak yang berkenaan tidak berasa tersinggung. Saya berharap kritikan saya dalam blog ini akan menyampaikan mesej secara tidak langsung kepada pihak tersebut.
Bahasa dalam Fikiran Kita.
Pada 16 Februari 2011, saya telah melayari internet untuk mencari video-video yang berkaitan dengan tugasan kursus Sosiolinguistik Melayu. Pada ketika tersebut, saya telah tertarik dengan suatu video. Video tersebut memaparkan tingkah laku seorang lelaki yang terjumpa dengan dompet di stesen bas. Dompet tersebut juga mengandungi banyak wang. Lelaki tersebut melihat dompet tersebut agak lama dan terpapar perkataan 'ambil' dan 'jangan' di bahagian atas kepalanya. Hal ini memberi gambaran bahawa lelaki tersebut menerima dua arahan yang berbeza iaitu 'ambil' dan 'jangan'. Dengan demikian, saya mendapati bahawa lelaki tersebut agak keliru untuk memilih arahan yang sesuai. Oleh itu, saya mendapati bahawa setiap manusia sering menerima arahan-arahan sedemikian untuk melakukan sesuatu perkara. Lazimnya, kita akan berkomunikasi dengan diri kita sendiri sebelum melakukan sesuatu perkara. Hal ini bermakna, terdapat suara yang sering berkomunikasi dengan diri kita. Perkara yang menarik dalam hal ini adalah seseorang individu sering menerima dua arahan yang berbeza sebelum melakukan sesuatu perkara. Ekoran itu, terdapat suara yang akan menyuruh kita melakukan perkara yang baik dan perkara yang tidak baik. Misalnya, arahan 'ambil' adalah arahan yang tidak baik yang menyuruh lelaki dalam video tersebut untuk mengambilnya. Manakala, arahan 'jangan' merupakan arahan yang baik bagi mengelakkan lelaki tersebut mengambil barang kepunyaan orang lain kerana wang tersebut bukanlah daripada hasil titik peluhnya. Dengan demikian, seseorang manusia hendaklah mengikut suara yang menyuruhnya melakukan kebaikan. Pada masa yang sama, ia hendaklah mempunyai pegangan yang kukuh dan mengelakkan suara yang menyuruhnya melakukan perkara tidak baik. Seseorang individu yang berjaya dalam kehidupan adalah orang yang mendengar suara yang menyuruhnya ke arah kebaikan. Dengan demikian, suara yang terlintas dalam fikiran juga merupakan suatu bahasa yang sering memberi arahan kepada seseorang dalam kehidupan sehariannya. Oleh itu, setiap manusia hendaklah bijak mengenal pasti suara yang menyuruh mereka melakukan perkara yang baik.
Terlajak Perahu Boleh Diundur, Terlajak Kata Buruk Padahnya
![]() |
Subscribe to:
Posts (Atom)
Pages
Blog Archive
-
▼
2011
(40)
-
▼
March
(23)
- Maaf
- Pembentukan Masyarakat Berbudi Pekerti
- Ayat Permintaan
- Ayat Silaan
- Bahasa dan Bujukan
- Bahasa Sopan
- Berhemah
- Laras Bahasa
- Kebenaran Penggunaan Singkatan
- Manfaatkanlah Penggunaan Bahasa Halus
- O.k next
- Penggunaan Dialek
- Salahkah?
- Perubahan Sikap
- Peribahasa warisan kita
- Pejuang-pejuang lama yang telah pupus
- Ukirlah Senyuman Pada Bibirmu
- Penggunaan Singkatan
- Penggunaan Bahasa dalam Media Rasmi
- Kaedah Peneguran yang Tidak Baik
- Bahasa dalam Cerpen
- Bahasa dalam Fikiran Kita.
- Terlajak Perahu Boleh Diundur, Terlajak Kata Buruk...
-
▼
March
(23)







