Saturday, February 12, 2011

Sikap Anda Mencerminkan Keperibadian Anda

Pada 9 Februari 2011, saya telah pergi ke Perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Saya telah memasuki tandas yang terletak di aras dua. Pada ketika itu, saya telah melihat suatu pengumuman yang ditampal di pintu tandas tersebut. Antara kata-kata yang tertera adalah seperti yang berikut:

 BAKAL GURU YANG DIHORMATI, SILA PASTIKAN TANDAS DI 'FLUSH' SELEPAS DIGUNAKAN DAN SAMPAH DIBUANG KE DALAM TONG SAMPAH SEBELUM KELUAR.
SILA GUNAKAN KEMUDAHAN YANG DISEDIAKAN DENGAN SEBAIK MUNGKIN.
SIKAP ANDA MENCERMINKAN KEPERIBADIAN ANDA.

Saya tertarik dengan kata-kata 'sikap anda mencerminkan keperibadian anda'. Perkataan sikap merujuk kepada perbuatan manakala perkataan keperibadian merujuk kepada sifat-sifat seseorang yang sudah sebati dengan dirinya sendiri. Peribadi juga dapat diertikan sebagai watak seseorang. Kata-kata 'sikap anda mencerminkan keperibadian anda' membawa makna bahawa segala perbuatan yang dilakukan akan mencerminkan atau menggambarkan watak atau sifat-sifat yang sudah sebati dengan diri kita. Misalnya, seseorang yang membuang sampah di tepi jalan akan memberi gambaran terhadap keperibadiannya sebagai individu yang tidak bertanggungjawab terhadap kebersihan awam, pengotor, mementingkan diri sendiri dan sebagainya. Gambaran yang sama juga dapat diperhatikan pada individu yang tidak menjirus air selepas menggunakan tandas dan tidak membuang sampah di tempat yang dikhaskan. Dengan ini, kita mendapati bahawa kata-kata 'sikap anda mencerminkan keperibadian anda' amat benar. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa menjaga tingkahlaku atau sikap kita di semua tempat bagi mencerminkan keperibadian yang baik. Sikap negatif yang diamalkan oleh seseorang akan memberi gambaran kepada orang lain bahawa individu tersebut tidak dididik dengan amalan atau sikap yang baik oleh ibu bapa sehinggga membentuk keperibadian yang negatif. Dengan demikian, perbuatan yang kita lakukan akan menjejaskan nama baik keluarga kita sebagai pihak yang gagal mendidik anak-anak dengan baik. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa mengamalkan sikap yang baik pada setiap masa kerana kita akan digelar sebagai guru yang akan mengajar bangsa Malaysia. Jadi, sentiasa ingatlah 'sikap anda mencerminkan keperibadian anda'.

 
 

Penggunaan bahasa yang kurang sopan

       Pada 8 Februari 2011, saya telah menaiki lif di blok satu Kolej Harun Aminurrashid untuk pergi ke rumah kawan saya. Terdapat seorang pelajar perempuan yang telah menaiki lif di aras dua. Rakannya yang berada di dalam lif telah melihatnya dan mula menegur pelajar tersebut. Antara kata-kata yang diucapkannya adalah seperti yang berikut:

Awak, hari ini meeting kita cancel. Jangan lupa pendrive esok.


Kata-kata tersebut jelas menunjukkan sikap pelajar tersebut yang tidak sopan dan tidak menghormati orang lain ketika berkomunikasi. Pelajar tersebut tidak peka terhadap sensiviti orang lain dan tidak menghormati perasaan seseorang individu. Hal ini demikian kerana, ia telah menggunakan perkataan 'awak' untuk memanggil rakannya di dalam lif. Saya berpendapat bahawa pelajar tersebut harus menggunakan nama pelajar perempuan tersebut untuk memanggilnya dan bukannya perkataan awak. Misalnya, Hai, Siti. Hari ini perjumpaan kita telah batal. Esok jangan lupa bawa pendrive ye. Saya berasa penggunaan kata-kata tersebut adalah lembut dan bersopan. Penggunaan perkataan yang sopan dan lembut dapat menyenangkan perasaan orang lain dalam sesuatu komunikasi. Hal ini demikian kerana, saya mendapati pelajar perempuan tersebut berasa tidak selesa dengan kata-kata rakannya dan hanya mengangguk terhadap permintaannya. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa peka dalam menggunakan bahasa yang sopan agar tidak menyinggung perasaan orang lain.





Monday, February 7, 2011

Diaorang

Pada 7 Februari 2011, saya telah menghadiri kelas Semantik dan Pragmatik Bahasa Melayu. Kelas tersebut diadakan pada pukul 11 hingga 12 tengah hari. Terdapat pembentangan pelajar secara berkumpulan. Salah seorang daripada ahli kumpulan tersebut telah menggunakan perkataan 'diaorang' dalam pembentangan. Sebenarnya, perkataan tepat atau sesuai yang patut digunakan oleh pelajar tersebut adalah 'mereka' bagi merujuk kata ganti nama diri yang  ketiga. Kita seharusnya menggunakan bahasa Melayu dengan sebaik yang mungkin bagi mengelakkan pencemaran bahasa. Kita juga wajib menggunakan bahasa Melayu dengan baik kerana akan digelar sebagai guru Bahasa Melayu pada masa akan datang. Kita harus menjadi teladan kepada para pelajar melalui penggunaan bahasa Melayu yang baik. Kita juga perlu melatih dan mengelak diri supaya tidak menggunakan perkataan-perkataan yang tidak sesuai ketika berada dalam situasi yang formal. Perkara ini akan dapat membantu kita pada masa hadapan.

Friday, January 28, 2011

Kata ganti nama diri

       Pada 29 Januari 2011, saya telah bersarapan dengan rakan serumah saya. Perbualan yang berlaku pada ketika tersebut adalah seperti yang berikut:

Rina      : Hai, akak nak balik bila?
Bawani : Saya nak balik pukul 4.00 petang ni.
Rina     : oh! 
Bawani: Awak nak balik bila?
Rina     : Rina (bukan nama sebenar) nak balik esok. Ada kerja nak buat.

Perkara yang telah menarik perhatian saya dalam perbualan tersebut adalah penggunaan kata ganti nama diri. Rakan serumah saya tidak menggunakan kata ganti nama diri yang pertama bagi merujuk dirinya iaitu 'saya' malah menggunakan kata ganti nama diri yang ketiga iaitu 'Rina' bagi merujuk dirinya. Perkara ini memang lazim dalam kalangan masyarakat Melayu. Mereka kerap menggunakan nama sendiri bagi perkataan 'saya' atau 'aku'. Misalnya, Nisha nak pergi ke pasar esok. Nak ikut ke? Situasi tersebut akan menimbulkan kekeliruan kepada orang lain yang tidak mengenali Nisha. Mereka akan beranggapan bahawa 'Nisha' merupakan orang ketiga dalam perbualan tersebut. Pada masa yang sama, mereka tidak akan mengetahui bahawa sebenarnya 'Nisha' adalah diri orang yang sedang berbual tentang dirinya sendiri. Oleh itu, penggunaan kata ganti nama diri pertama iaitu 'saya' atau 'aku' lebih tepat dan sesuai digunakan bagi merujuk diri sendiri bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pendengar.


Pergi? Datang?

          Pada 28 Januari 2011, kawan saya menghantar mesej kepada saya bahawa ianya hendak datang ke rumah saya di Kolej Harun Aminurashid. Mesej yang dihantar melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) adalah seperti yang berikut:
         Bawani, saya nak pergi ke rumah awak sekarang. Nombor rumah awak berapa ye? 
Saya agak keliru setelah membaca mesej tersebut. Hal ini demikian kerana, mesej tersebut ditujukan kepada saya. Oleh itu, saya berasa mesej yang dihantarnya lebih tepat sekiranya ia mengunakan perkataan 'datang' bagi perkataan 'pergi'. Penggunaan perkataan 'pergi' lebih tepat digunakan sekiranya ia menceritakan perkara tersebut kepada orang lain. Misalnya, Siti, saya nak pergi ke rumah Bawani sekarang. Oleh sebab itu, ia sepatutnya menggunakan perkataan 'datang' sekiranya, hendak menghantar mesej tersebut kepada saya. Situasi  sedemikian memang kerap berlaku dalam kalangan kawan-kawan saya. Dengan demikian, saya berharap kita dapat menggunakan bahasa Melayu dengan tepat bagi mengelakkan sebarang kekeliruan. 

Wednesday, January 26, 2011

Pangkat dalam hubungan kekeluargaan

         Pada 27 Januari 2011, saya telah menghadiri kelas Sosiolinguistik Melayu pada pukul 11 hingga 1 petang. Perkara yang telah menarik perhatian saya adalah pelbagai pangkat dalam hubungan kekeluargaan. Saya mendapati pangkat tersebut berbeza mengikut negeri dan bangsa. Antara pangkat yang dapat saya catatkan adalah seperti berikut:
Terengganu                 : Mok Loh, Mok Ngoh, Mok Cik dan Mok Su.
Kelantan                      : Pal Long, Mak Long, Pak Ngah, Mak Ngah, Ayah Uda, Mak Uda, Ayah Su dan Mak Su.
Sarawak                      : Wah, Anjang, Ngah, Uda, Cik, Mok, Yah, Andak dan
             Usu.
Masyarakat Iban         : Apai (ayah), Inai (ibu), Aki (datuk), Ine (nenek), Aya (pak cik), Endun   (kakak sulung), Igat (adik) dan Umang (adik perempuan).
Masyarakat Dusun      : Pak Man (pak cik) dan Inan (mak cik).
Masyarakat Banjar      : Julang, Tah Ngah, Kayi (datuk) dan Nenek.
Masyarakat Cina         : Pepe (abang kepada bapa), Susu (adik kepada bapa), Yiyi (isteri kepada Susu) dan Tape (Pak Long).
Masyarakat India        : Periappa (pak cik), Periamma (mak cik), Chinnama atau Chitti(mak su) dan Chittappa (pak su).
Saya juga dapat mengetahui perbezaan antara gelaran Datuk dengan Dato'. Gelaran Datuk merupakan gelaran yang diberikan oleh Yang Dipertuan Agung atau Sultan manakala Dato' pula, gelaran yang diberikan oleh Kerajaan Negeri. Saya memohon maaf kepada pembaca blog saya sekiranya terdapat kesalahan ejaan dalam pangkat-pangkat tersebut. Komen yang baik atau membina dialu-alukan. Terima kasih.

Tuesday, January 25, 2011

Sinonim?

         Pada 26 Januari 2011, saya telah mengikuti kelas Semantik dan Pragmatik pada pukul 8 hingga 10 pagi. Terdapat pembentangan mengenai perkataan sinonim. Pelajar tersebut menyatakan bahawa walaupun terdapat perkataan sinonim atau sama makna tetapi, terdapat pengecualian dalam penggunaannya. Pelajar tersebut menjelaskan bahawa penggunaannya perlulah berdasarkan jenis dan konteks ayat-ayat yang dibina. Contoh yang diberikannya adalah seperti berikut:
Perkataan ibu bermaksud orang yang melahirkan seseorang dan perkataan emak juga membawa maksud yang sama. Namun, kedua-dua perkataan tersebut tidak boleh ditukar ganti dengan sewenang-wenangnya malah perlu merujuk kepada jenis atau konteks ayat. Misalnya,

      i) Emak Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur terletak di Jalan Hang Tuah.
      ii) Ibu Pejabat  Kontinjen Polis Kuala Lumpur terletak di Jalan Hang Tuah.

Kita mendapati bahawa penggunaan perkataan emak adalah tidak sesuai dalam ayat tersebut walaupun bersinonim dengan perkataan ibu. Perkara ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa semua perkataan yang bersinonim tidak boleh bertukar ganti dalam pembinaan sesuatu ayat malah perlu merujuk kepada jenis dan konteks ayat-ayat yang dibina. Contoh lain yang dapat saya bentuk adalah seperti berikut. 

        i) Emak jari saya telah mengalami kecederaan.
       ii) Ibu jari saya telah mengalami kecederaan.

Saya rasa, anda boleh memahami pengecualian penggunaan perkataan sinonim dengan jelas setelah melihat dua contoh tersebut.

Pages